Para peguam muda kini semakin menitikberatkan keseimbangan kerjaya dengan kehidupan peribadi, maka penting bagi firma guaman mewujudkan suasana yang menyemai semangat kekitaan dalam diri mereka, sekali gus mengekalkan khidmat mereka dalam bidang guaman.

Namun, golongan ini juga harus peka dengan hakikat permintaan pekerjaan sebagai peguam dan perlu mencari keseimbangan sesuai untuk diri masing-masing, kata beberapa peguam yang dihubungi Berita Harian (BH).

Rakan kongsi pengurusan dan peguam syarikat guaman, A Rohim Noor Lila LLP, Encik Abdul Rohim Sarip, akur akan kewujudan budaya kerja tidak sihat dalam sesetengah firma guaman, khususnya terhadap peguam muda yang baru memulakan kerjaya dalam bidang ini.

Ia termasuk bersengkang mata hingga larut malam bagi menyiapkan pekerjaan.

Namun menurutnya, ini satu mentaliti di takuk lama kerana landskap guaman berubah dengan budaya kerja baharu yang dibawa golongan lebih muda, seperti waktu kerja fleksibel.

“Apabila saya mula berkhidmat sebagai peguam lebih 35 tahun lalu, waktu kerja yang lama dan lewat adalah amalan biasa.

“Kini, peguam muda (lebih cenderung) bekerja pada waktu pejabat dan meminta supaya bekerja dari rumah untuk jimat masa perjalanan,” ujarnya, sambil menyifatkan pengekalan peguam ‘keutamaan strategik’ bagi firmanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan BH berkenaan pengumuman Mahkamah Singapura (SG Courts) dan Persatuan Guaman Singapura untuk menubuhkan jawatankuasa bersama bagi menangani beberapa isu yang dibangkitkan dalam satu kajian.

Kajian kendalian syarikat analisis, Anthro, atas arahan Persatuan Guaman dan diterbitkan pada 23 Jun, mendedahkan sebab peguam meninggalkan kerjaya mereka – isu yang membelenggu bidang guaman sejak bertahun lamanya.

Menurut kenyataan syarikat itu, antara sebab utama terkait dengan garis masa mahkamah menetapkan tarikh akhir, jangkaan anak guam menentukan tahap keamatan kerja dan model bil bayaran yang membentuk sempadan tugas.

Ini di samping penetapan norma oleh peguam kanan dan sekolah undang-undang membentuk jangkaan peguam baharu.

Pengarah Urusan Emerald Law LLC, Encik Mohammad Rizuan Mohammad Yasin, akur mentaliti di takuk lama harus dihapuskan bagi memacu lebih ramai peguam muda kekal dalam bidang guaman.

Sungguhpun begitu, beliau berkata hakikat bidang guaman, antara lain, berteraskan tekanan tinggi yang dipacu jangkaan pelanggan dan pengurusan model bil bayaran.

Oleh demikian, mencari keseimbangan merentasi semua aspek ini “sangat sukar” dan peguam muda harus “memahami realiti industri guaman”, tambah beliau.

Di sini, pihak pengurusan perlu memainkan peranan lebih aktif dan terus membuka saluran komunikasi bersama peguam atau kakitangan di bawah seliaan mereka agar kebimbangan atau isu yang mereka hadapi dapat disokong sebaik mungkin, katanya.

“Adalah penting pihak pengurusan sering berkomunikasi dengan peguam di bawah penyeliaan agar kakitangan ini tidak rasa khuatir untuk berkongsi kepada orang atasan mereka,” ujar Encik Rizuan.

Seminggu sekali, beliau dan rakan kongsinya, Encik Keith Hsu, akan bertemu dengan kakitangan masing-masing untuk memberi nasihat dan memastikan peguam atau kakitangan tidak terbeban dengan beban kerja yang melampau.

Selain itu, beliau berkata firma guaman harus menitikberatkan pembangunan kerjaya bagi kakitangan agar mereka menikmati jerih payah dan keringat mereka.

Ini lebih-lebih lagi dengan peluang kerjaya yang kini begitu pelbagai, kata Pengarah Urusan, Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas.

Menurut beliau, apa yang berbeza kini adalah peguam muda hari ini mempunyai pelbagai pilihan kerjaya yang tersedia bagi mereka berbanding generasi sebelumnya.

“Peguam muda hari ini lebih cenderung melihat pilihan kerjaya secara berbeza. Secara umumnya, mereka lebih bersedia meneruskan peluang alternatif jika bidang guaman tidak lagi memberikan kepuasan yang mereka inginkan.

“Mereka juga lebih cenderung meninggalkan khidmat guaman swasta apabila mereka merasakan budaya, persekitaran kerja atau nilai yang dipegang syarikat tidak selaras dengan aspirasi peribadi atau profesional mereka,” katanya.

Sementara itu, pengarah urusan Abdul Rahman Law Corporation (ARLC), Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, berkata penglibatan badan kehakiman dalam jawatankuasa bersama ini penting demi memperkukuhkan lagi bidang guaman di sini.

Menurutnya, pemahaman badan kehakiman menyuntik unsur kemanusiaan terhadap urusan di sebalik sesebuah firma guaman.

Sehubungan itu, peguam jenayah, Encik Haneef Abdul Malik, berkata sebagai peguam peringkat pertengahan, ada kalanya beban kerja ini terasa seolah-olah seseorang sedang melakukan pelbagai pekerjaan berbeza pada satu-satu masa.

Tekanan ini mungkin semakin meruncing dengan pergerakan pantas landskap guaman masa kini, ujarnya.

Namun, ia tidak bermakna peguam muda tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menanggung akibatnya.

Beliau menambah: “Kecuali jika keperluan sesuatu perkara benar-benar memerlukannya, pelanggan tidak seharusnya mengharapkan atau menuntut respons pada hujung minggu.

“Pada pandangan saya, itu bukanlah jangkaan yang tidak munasabah mahupun batasan yang berlebihan.”

“Peguam muda hari ini lebih cenderung melihat pilihan kerjaya secara berbeza. Secara umumnya, mereka lebih bersedia meneruskan peluang alternatif jika bidang guaman tidak lagi memberikan kepuasan yang mereka inginkan. Mereka juga lebih cenderung meninggalkan khidmat guaman swasta apabila mereka berasa budaya, persekitaran kerja atau nilai yang dipegang syarikat tidak selaras dengan aspirasi peribadi atau profesional mereka.”
Encik Ahmad Nizam Abbas, Pengarah Urusan, Crescent Law Chambers LLC.