Syarikat teknologi maklumat (IT), Tata Consultancy Services (TCS), telah melancarkan pusat penyelidikan dan inovasi baru yang dijana kecerdasan buatan (AI) di Changi Business Park.
Pembukaan pusat tersebut boleh membantu syarikat bersekutu setempat melalui peralihan digital dengan lebih pantas.
Berucap di acara pembukaan pusat itu pada 3 Julai, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, berkata:
“Pusat ini akan menjadi hab buat syarikat bersekutu memanfaatkan teknologi seperti AI, pembelajaran mesin, realiti terimbuh, realiti maya dan robotik agar dapat meraih kelebihan untuk berdaya saing dalam alam digital yang cepat berkembang.”
Menurut beliau, keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu dan pandemik Covid-19 yang lalu telah mempercepat inovasi dan perkembangan teknologi.
Lantas, Encik Tan menekankan kepentingan syarikat untuk tidak ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi tersebut.
Beliau menekankan kepentingan Singapura untuk terus melabur dalam memajukan pembangunan dan penggunaan peralatan digital dan AI melalui kerjasama dengan pemain setempat dan sejagat agar dapat terus berada di hadapan.
Menurut Encik Tan, terdapat segolongan syarikat setempat yang kurang yakin dalam memanfaatkan AI kerana risau tentang risiko dan perbelanjaan menggunakan AI.
Maka itu, dalam Belanjawan 2025, pemerintah mengumumkan sehingga $150 juta telah diperuntukkan bagi Inisiatif Pengkomputeran Perusahaan (ECI), demi menyokong syarikat berpangkalan di Singapura untuk mencapai sumber awan, peralatan AI dan perkhidmatan perundingan.
Ini menyumbang kepada matlamat lebih besar Strategi Kecerdasan Buatan Nasional (Nais) 2.0 untuk mengukuhkan keupayaan AI di sini.
Pemerintah telah memperuntuk lebih $1 bilion bagi program Nais 2.0 buat tempoh lima tahun akan datang khas untuk mengembangkan prasarana digital dan AI.
Memainkan peranan serupa, Pusat Penyelidikan dan Inovasi Dijana AI TCS akan memudahkan proses bekerjasama dengan syarikat setempat dan sejagat bagi memajukan transformasi digital mereka.
Ini dicapai dengan menghubungkan syarikat baru dengan agensi pemerintah, ahli akademik dan pakar industri untuk menggalakkan kerjasama dan inovasi rentas sektor.
Pusat baru tersebut juga membantu dalam menyediakan persekitaran sesuai untuk syarikat berhubung dengan pakar dan syarikat lain yang menghadapi cabaran perniagaan serupa.
“Sementara kita menggalakkan penggunaan teknologi baru, kita perlu memastikan tiada individu atau perniagaan yang ketinggalan,” kata Encik Tan.
Encik Tan juga berkata pembukaan pusat baru TCS itu menyokong inisiatif menjadikan Singapura Negara Bijak yang kerap memupuk strategi AI untuk membaiki industri teknologi dan perniagaan.
Beliau turut mengucapkan tahniah ke atas ulang tahun ke-40 TCS di Singapura serta hubungan dua hala antara Singapura dengan India selama 60 tahun.
TCS pernah bekerjasama dengan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Persatuan Rakyat (PA) untuk membantu mereka membaiki penggunaan teknologi.
“Sedang Singapura mengejar matlamat Negara Bijak, kita mengharapkan ada lebih peluang untuk bekerjasama dengan TCS,” kata Encik Tan.
“
Pusat ini akan menjadi hab buat syarikat bersekutu memanfaatkan teknologi seperti AI, pembelajaran mesin, realiti terimbuh, realiti maya dan robotik agar dapat meraih kelebihan untuk berdaya saing dalam alam digital yang cepat berkembang.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg