Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma, karyawan guaman S’pura harus manfaat teknologi undang-undang

Edwin: Perlu fikiran terbuka terima AI untuk saing dengan AS, Britain
Mar 4, 2025 | 7:36 PM
Firma Guaman Singapura (SLP) dan karyawan undang-undang harus memanfaatkan teknologi undang-undang atau ‘legaltech’ untuk bersaing dengan firma guaman dalam bidang kuasa lain di kala dunia kini tidak lagi dihadkan oleh sempadan geografi, kata Menteri Kedua Undang-undang, Encik Edwin Tong. 
Firma Guaman Singapura (SLP) dan karyawan undang-undang harus memanfaatkan teknologi undang-undang atau ‘legaltech’ untuk bersaing dengan firma guaman dalam bidang kuasa lain di kala dunia kini tidak lagi dihadkan oleh sempadan geografi, kata Menteri Kedua Undang-undang, Encik Edwin Tong.  - Foto fail

Firma Guaman Singapura (SLP) dan karyawan undang-undang harus memanfaatkan teknologi undang-undang atau ‘legaltech’ untuk bersaing dengan firma guaman dalam bidang kuasa lain.

Ini sedang dunia kini tidak lagi dihadkan oleh sempadan geografi – sekali gus terdapat keperluan bagi SLP dan karyawan guaman untuk memanfaatkan trend dan teknologi yang muncul, kata Menteri Kedua Undang-undang, Encik Edwin Tong.

Berhujah semasa perbahasan Jawatankuasa Pembekalan (COS) bagi Kementerian Undang-undang (MinLaw) di Parlimen pada 4 Mac, beliau berkata firma guaman dalam bidang kuasa lain seperti Amerika Syarikat dan Britian memanfaatkan ‘legaltech’ bagi menyokong kerja guaman.

Menurutnya lagi, untuk bersaing dengan negara-negara ini, karyawan undang-undang dan SLP harus kekal berfikiran terbuka dan menerima teknologi undang-undang, khususnya kecerdasan buatan (AI) dan AI generatif (GenAI).

Beliau berkata demikian sebagai tanda persetujuan kepada kenyataan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) berkenaan perlunya firma guaman dan karyawan undang-undang untuk kekal seiring dengan trend yang muncul.

Beliau, yang juga Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, berkata: “Dalam sektor perundangan, AI boleh melaksanakan tugasan pegawai guaman bersekutu muda, tetapi mengambil masa dan kos yang lebih rendah.”

Encik Tong turut menukil laporan Thomson Reuters pada 2024 yang menyatakan bahawa penggunaan AI dapat menjimatkan karyawan sehingga 12 jam setiap minggu menjelang 2029.

Menurutnya lagi, ini merupakan satu peluang bagi peguam untuk menambah nilai dan tumpuan kepada tugasan bernilai tinggi, misalnya terhadap perkhidmatan pelanggan.

Dari aspek ini, beliau menyatakan MinLaw akan merintis inisiatif pada separuh kedua 2025 bagi memadankan perunding ‘legaltech’ kepada SLP yang berminat untuk mengenal pasti keperluan teknologi dan mengesyorkan alat atau wadah yang diperlukan firma sedemikian

Ini selepas MinLaw menerima maklum balas daripada firma guaman bahawa mereka memerlukan sokongan untuk menambah baik proses teknologi, sambil menyesuaikan keutamaan sedia ada.

Inisiatif ini adalah di samping Platform Teknologi Undang-undang – alat pengurusan perkara dan kerjasama – yang telah dilancarkan pada 2022 dan disediakan kepada firma guaman yang inginkan produk sedia ada, dengan fungsi GenAI ditambah pada 2024.

Berkenaan GenAI, satu garis panduan juga akan diperkenalkan MinLaw bagi membantu karyawan undang-undang dalam penggunaan GenAI dalam kerja masing-masing.

Dalam pada itu, Menteri Negara (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai, dalam perbahasan COS MinLaw pada 4 Mac, berkata kementerian itu ingin menumpukan perhatian kepada kesan teknologi dalam sektor guaman.

Beliau berkata walaupun MinLaw menggalakkan penggunaan GenAI, karyawan undang-undang harus menggunakannya dengan selamat dan bertanggungjawab.

Encik Murali menambah terdapat keperluan jelas bagi pengawalan, memandangkan GenAI mungkin memberikan respons yang tidak tepat.

Terdapat juga kebimbangan keselamatan dan privasi, dengan beberapa model GenAI yang mungkin menyimpan maklumat pengguna dan sejarah carian untuk melatih model tersebut.

“Ini kemudian boleh diterbitkan semula sebagai respons bagi pengguna lain,” ujar beliau.

Beliau akur adanya kebimbangan etika dan dengan perkembangan pesat GenAI oleh pengatur cara berbeza, adalah penting alat sedemikian dibangunkan dalam rangka kerja yang dipandu oleh prinsip, etika dan peraturan.

Mengambil kira konteks ini, beliau berkata MinLaw sedang melakar garis panduan untuk membantu karyawan undang-undang menjadi pembeli dan pengguna bijak bagi alat GenAI.

Encik Murali berkata MinLaw telah berunding dengan pihak berkepentingan seperti mahkamah di Singapura, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), dan akan berunding dengan industri guaman dalam masa terdekat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg