Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perundingan awam dilancar tingkat keselamatan dalam talian

Antara usulan termasuk tubuh agensi baru bagi ambil tindakan terhadap maklum balas berkenaan gangguan
Nov 22, 2024 | 5:30 PM
Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) telah melancarkan perundiangan awam untuk mendapatkan maklum balas mengenai usaha meningkatkan keselamatan dalam talian.
Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) telah melancarkan perundiangan awam untuk mendapatkan maklum balas mengenai usaha meningkatkan keselamatan dalam talian. - Foto fail

Mangsa gangguan dalam talian mungkin boleh menyaman pelaku yang memuat naik hantaran yang mengganggu, dan mendapat pampasan yang sesuai pada masa hadapan, jika rancangan pemerintah memperkenalkan tort berkanun untuk kes tertentu diterima.

Tort adalah undang-undang berkenaan salah laku yang boleh dikenakan tindakan sivil, misalnya bayaran ganti rugi.

Sebagai contoh, seorang lelaki yang berkongsi imej intim bekas temanitanya dalam talian tanpa izinnya, berkemungkinan menghadapi bukan sahaja pertuduhan jenayah, bahkan tuntutan sivil jika mangsa memilih untuk menuntut ganti rugi di mahkamah.

Cadangan tersebut adalah antara beberapa langkah yang dicadangkan pemerintah sedang ia melancarkan sesi perundingan awam pada 22 November untuk mendapatkan maklum balas mengenai cadangan perundangan dan langkah meningkatkan keselamatan dalam talian.

Ini termasuk penubuhan sebuah agensi pemerintah baru untuk menyokong mangsa gangguan dalam talian dan membenarkan mangsa memohon mendapatkan maklumat pelaku untuk tujuan tertentu seperti bagi memfailkan saman di mahkamah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 22 November, saranan itu bertujuan membolehkan mangsa mendapatkan bantuan dengan mudah dan cepat.

Ia juga bertujuan meningkatkan kebertanggungjawapan ke atas mereka yang memuat naik atau berkongsi kandungan dalam talian yang dianggap sebagai “gangguan dalam talian”.

“Cadangan ini merupakan sebahagian daripada komitmen pemerintah untuk menangani gangguan dalam talian dan akan membolehkan mangsa mendapatkan pampasan yang dialami akibat gangguan dalam talian.

“Ia juga akan membantu membentuk norma kelakuan dalam talian yang boleh diterima dan meningkatkan kebertanggungjawapan dalam kalangan ahli ekosistem dalam talian,” kata MinLaw dan MDDI.

Untuk memberikan mangsa “sebab tindakan yang jelas” dan membenarkan mangsa mendapatkan bantuan yang sesuai daripada mahkamah, pemerintah bercadang memperkenalkan tort berkanun bagi gangguan dalam talian tertentu untuk didengar di mahkamah Singapura.

Ini bermakna mangsa akan mempunyai “sebab tindakan yang jelas” dan mahkamah akan dapat memberikan ganti rugi pampasan dan injunksi terhadap pelaku.

Ini akan merangkumi individu yang menyampaikan mesej, orang yang mencipta atau mengurus wadah, serta platform tempat mesej itu dikongsi seperti Facebook, Instagram atau TikTok.

Pemerintah turut merancang menubuhkan sebuah agensi baru untuk “menyediakan bantuan tepat pada masanya kepada mangsa bahaya dalam talian” dan meningkatkan keselamatan dalam talian, tambah kenyataan itu.

Agensi berdedikasi baru itu, yang akan ditempatkan di bawah MDDI, akan diberi kuasa menerima dan mengambil tindakan terhadap aduan berkaitan gangguan dalam talian, perkongsian imej intim tanpa persetujuan, penyamaran, dan penyiaran pemalsuan mendalam atau deepfake, antara lain.

Deepfake adalah satu teknik pemalsuan dengan merubah rupa paras seseorang pada gambar atau video menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah.

Jika cadangan tersebut diterima, agensi baru itu akan mempunyai kuasa mengeluarkan arahan kepada pelaku, pentadbir dan penyedia perkhidmatan dalam talian untuk menghentikan gangguan dalam talian dengan segera.

“Agensi itu secara amnya akan terlebih dahulu mengarahkan akses kepada kandungan tersebut dilumpuhkan atau, dalam kes kenyataan palsu yang menjejas reputasi, memberikan hak balas kepada pengadu.

“Tindakan yang lebih teruk akan dikhaskan untuk kes yang lebih serius, contohnya, jika akaun itu digunakan terutama untuk mengekalkan gangguan dalam talian, atau untuk pelaku yang degil,” kata kenyataan itu.

Ia juga akan mempunyai kuasa penyiasatan untuk memudahkan penilaian aduan dan boleh menggunakan kuasa tersebut untuk mengumpulkan fakta dan maklumat tentang keadaan kes.

MinLaw dan MDDI menambah, agensi itu juga boleh menyiasat ketidakpatuhan arahannya kerana kegagalan mematuhinya akan menjadi kesalahan jenayah.

Pemerintah juga bercadang memberikan kemudahan kepada mangsa, yang telah memfailkan aduan dengan agensi itu, memohon mendapatkan maklumat penggguna penjenayah bagi meningkatkan kebertanggungjawapan ke atas kalangan pelaku.

Perundingan awam itu akan berlangsung selama sebulan dan orang ramai diundang mengemukakan pandangan sebelum 22 Disember melalui https://go.gov.sg/onlineharmsconsult.

Rang untuk mengetengahkan cadangan tersebut akan dibentang di Parlimen pada 2025.

“Cadangan ini merupakan sebahagian daripada komitmen pemerintah untuk menangani gangguan dalam talian dan akan membolehkan mangsa mendapatkan pampasan yang dialami akibat gangguan dalam talian. Ia juga akan membantu membentuk norma kelakuan dalam talian yang boleh diterima dan meningkatkan kebertanggungjawapan dalam kalangan ahli ekosistem dalam talian.”
Kenyataan bersama Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg