Pada usia 39 tahun, Encik Suhaimi Zainul-Abidin dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru Quantedge Capital, firma pelaburan tempatan berpangkalan di Singapura yang mempunyai pejabat di New York, Amerika Syarikat.
Pada masa itu, firma pelaburan tersebut menguruskan aset ekuiti, bon, komoditi, mata wang dan sekuriti berkaitan insurans bernilai sebanyak AS1.8 bilion ($2.4 bilion).
Kini, jumlah itu telah meningkat 2.5 kali ganda kepada kira-kira AS4.5 bilion ($6 bilion).
Pada 17 Februari, syarikatnya telah menganjurkan latihan ‘table-top’ (TTX) bersama sembilan institusi kewangan berbilang negara (MNC) dan tempatan sebagai sebahagian Latihan SG Ready 2025 bagi menyokong kempen Pertahanan Mutlak.
Latihan bersama itu diadakan bagi syarikat tersebut memperkukuh rancangan kesinambungan perniagaan mereka sekiranya berdepan dengan gangguan tenaga atau serangan pancingan data.
Diterajui bersama Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Latihan SG Ready diadakan dari 15 hingga 28 Februari, melibatkan lebih 1,000 pertubuhan yang mengambil bahagian untuk mempersiapkan diri mereka menghadapi masa krisis dan gangguan.
“Sebagai syarikat yang berpangkalan di Singapura, kami bangga dapat menyumbang kepakaran kami dalam meningkatkan kesediaan institusi kewangan untuk menangani gangguan dan menambah keteguhan ekosistem kewangan Singapura.
“Melalui latihan ini, kami ingin mempamerkan daya tahan hab kewangan kami dan juga menggalakkan penyertaan dalam inisiatif Pertahanan Mutlak seperti Latihan SG Ready,” kata Encik Suhaimi yang menjangkau usia 46 tahun pada 2025.
Latihan itu menyaksikan wakil daripada Quantedge Capital, Dymon Asia, BlackRock, Franklin Templeton, abrdn Investments, Alta Exchange, FOMO Pay, AIA Singapore dan Nikko Asset Management berkumpul dan merancang untuk menangani gangguan.
Peserta membincangkan cara mengekalkan kesinambungan perniagaan tatkala berdepan gangguan seperti serangan siber yang menyasar sistem perbankan atau gangguan pada grid kuasa yang menjejas operasi.
Mereka turut menggunakan sesi tersebut untuk menyemak rancangan kesediaan mereka, membincangkan strategi tindak balas dan berkongsi amalan terbaik.
Semasa sesi itu, peserta juga mengenal pasti bidang utama yang berbeza untuk penambahbaikan, termasuk protokol tindak balas komunikasi yang dipertingkatkan dan keperluan untuk pelan pengurusan risiko yang lebih mantap.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan) Encik Heng Chee How, yang menghadiri latihan itu berkata perniagaan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kesiapsiagaan dan kesediaan Singapura menghadapi krisis dan gangguan.
“Mindef ingin bekerjasama dengan perniagaan supaya mereka dapat mengukuhkan daya tahan mereka terhadap ancaman hibrid seperti serangan siber berskala besar.
“Melalui Latihan SG Ready, kami mahu menggalakkan organisasi merancang untuk gangguan, menyediakan pelan tindak balas mereka dan memainkan peranan mereka untuk memastikan Singapura kekal kukuh,” kata Encik Heng.
Ketika ditanya Berita Harian sebab syarikatnya telah tampil mengetuai usaha itu, Encik Suhaimi berkata adalah penting bagi firma pelaburan, seperti syarikatnya, menyumbang kepada negara selain daripada menumpukan operasi harian sahaja kepada menjana wang untuk syarikat-syarikat sendiri.
Encik Suhaimi, yang menganggotai beberapa lembaga seperti KidStart, Esplanade dan Pusat Sukarelawan dan Dermawan Nasional (NVPC), berkata setiap warga mempunyai peranan dalam Pertahanan Mutlak dan perniagaan memainkan peranan penting menyokong tonggak ekonomi.
Dalam menyatukan syarikat kewangan dan pelaburan berbeza bagi latihan itu, Encik Suhaimi berkata ia adalah satu peluang untuk belajar daripada satu sama lain serta menghantar mesej kuat bahawa industri kewangan juga sedang mempersiapkan diri.
Ini, katanya, adalah penting kerana apabila ia berkaitan dengan gangguan terhadap kehidupan sebenar, tiada syarikat boleh bertahan dengan sendiri sahaja.
“Jika kita melakukannya sebagai satu kumpulan, terutamanya dengan organisasi yang berbeza saiz, maka kita benar-benar boleh belajar antara satu sama lain.
“Kesinambungan perniagaan adalah latihan yang perlu diselaraskan.
“Kita perlu melibatkan orang ramai dan kemudian tentukan bagaimana kita boleh bekerjasama,” kata Encik Suhaimi, yang juga merupakan anak kepada mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed.
“
“Sebagai syarikat yang berpangkalan di Singapura, kami bangga dapat menyumbang kepakaran kami dalam meningkatkan kesediaan institusi kewangan untuk menangani gangguan dan menambah keteguhan ekosistem kewangan Singapura. Melalui latihan ini, kami ingin mempamerkan daya tahan hab kewangan kami dan juga menggalakkan penyertaan dalam inisiatif Pertahanan Mutlak seperti Latihan SG Ready.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg