Syarikat pemula kecerdasan buatan (AI) di Singapura akan mendapat bantuan untuk berkembang lebih cepat di rantau ini dan di peringkat sejagat, hasil kerjasama baru antara Microsoft, Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dengan cabang keusahawanan Universiti Nasional Singapura (NUS).
Ia adalah sebahagian daripada rancangan Singapura untuk menjalin kerjasama yang membawa idea dari negara ini ke seluruh dunia, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.
Kerjasama baru itu, yang diumumkan pada 29 Oktober, akan mengembangkan program, AI Accelerate, sedia ada yang dikendalikan oleh Microsoft dan NUS Enterprise, lapor The Straits Times (ST).
Program itu menawarkan inkubator 10 minggu yang membolehkan syarikat pemula membangunkan produk di wadah Microsoft Azure, memperbaiki produk mereka, serta mendapatkan panduan dalam strategi perniagaan, pengumpulan dana, dan berhubung dengan mentor serta pelabur.
Dengan pengembangan itu, program tersebut akan merangkumi laluan pasaran bagi membolehkan pakar dari Microsoft memberi panduan amali untuk membantu syarikat pemula berkembang dengan lebih berkesan di pasaran serantau dan sejagat.
Sehingga 150 syarikat pemula akan memasuki program AI Accelerate dalam tempoh tiga tahun akan datang, dan mereka mungkin dipertimbangkan untuk mendapatkan akses dipermudahkan kepada geran, Startup SG Tech.
EnterpriseSG, melalui pejabat Industri Digital Singapura, akan bekerjasama dengan Microsoft untuk mempercepat pemberian geran itu kepada syarikat yang layak.
Syarikat-syarikat itu akan dinilai oleh panel industri dan wakil modal teroka, dengan geran diberi untuk pendaftaran harta intelek, penggunaan awan dan AI, serta pengambilan bakat.
“Start-up ini akan menerima sokongan dalam penyesuaian produk-pasaran, pembangunan teknikal dan akses pasaran, dengan memanfaatkan rangkaian sejagat Microsoft,” kata Encik Gan pada majlis pembukaan, Singapore Week of Innovation and Technology (Switch) 2025.
Encik Gan berkata pemerintah berharap Singapura dapat menjadi tempat yang menawarkan kestabilan di tengah ketidaktentuan; sebuah hab yang menghubungkan pasaran pertumbuhan Asia dengan seluruh dunia; dan wadah di mana idea, bakat dan modal bertemu untuk menangani cabaran sejagat.
“Kami akan terus melabur dalam sains dan teknologi, mempercepat penyelidikan ke perusahaan, dan menjalin kerjasama untuk membawa idea Singapura ke seluruh dunia,” kata Encik Gan.
Beliau turut mengumumkan bahawa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan organisasi bukan meraih untung dari Amerika Syarikat, Activate Global, telah melancarkan satu fellowship baru untuk memperkasa keusahawanan sains dan membangunkan syarikat permulaan teknologi tinggi di sini.
Kerjasama itu akan melibatkan komitmen $12 juta untuk menyokong sehingga 20 felo dan 20 rakan felo sains dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Program itu dibiayai Yayasan Penyelidikan Nasional dan disokong oleh EnterpriseSG, yang menawarkan pembiayaan tambahan serta rangkaian pelabur, syarikat korporat, dan penyedia prasarana.
Fellowship itu terbuka kepada saintis dan jurutera Singapura dengan inovasi peringkat awal yang berpotensi memberi impak komersial dan sosial, khususnya dalam bidang bahan maju, robotik, AI, dan bioteknologi.
“Program itu akan membantu penyelidik memperoleh pengalaman dalam membina syarikat, termasuk pengumpulan dana, latihan, dan pembangunan produk,” kata Encik Gan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg