ST Engineering berhasrat menambah bilangan pakar keselamatan siber apabila ia melancarkan satu kemudahan baru bagi memacu inovasi dan membangunkan bakat dalam penyelesaian keselamatan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI) ‘agentic’.
Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (The Cybersecurity Centre of Excellence) itu akan mula beroperasi pada 1 Disember dengan 26 pakar siber pertama.
Jumlah itu dijangka meningkat hampir tiga kali ganda kepada 81 orang dalam tempoh tiga tahun, kata ST Engineering kepada The Business Times.
Presiden bahagian sibernya, Encik Goh Eng Choon, berkata dengan kemunculan AI dan pengkomputeran kuantum, ancaman siber kini “berkembang lebih pantas dan semakin canggih”.
Dengan pusat baru itu, ST Engineering berupaya memperkukuh pertahanan siber yang “lebih pintar, pantas dan mampu menyesuaikan diri” terhadap ancaman baru.
Pelancaran pusat itu disokong oleh Industri Digital Singapura (Digital Industry Singapore, DISG) – satu pejabat gabungan antara Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Enterprise Singapore dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) – serta Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura.
Pusat itu akan memacu penggunaan AI ‘agentic’ dalam pusat operasi keselamatan generasi baru, forensik digital, dan tindak balas insiden siber.
AI ‘agentic’ merujuk kepada sistem autonomi yang boleh belajar dan membuat keputusan sendiri.
Menurut ST Engineering, teknologi itu dijangka meningkatkan ketepatan, liputan dan keupayaan membuat keputusan secara bebas – melebihi kemampuan pusat operasi keselamatan tradisional.
Selain membangunkan teknologi, pusat ini turut menumpukan pada pembangunan bakat mahir dalam sektor keselamatan siber.
Ia akan bekerjasama dengan institut pendidikan tinggi termasuk Politeknik Republic (RP) dan Politeknik Singapore (SP) bagi menubuhkan makmal latihan dan program pembangunan kemahiran, melatih pelajar menggunakan penyelesaian AI berejen yang dibangunkan di pusat itu.
Langkah ini dijangka membantu melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu mengendalikan sistem keselamatan siber berasaskan AI dan memanfaatkan teknologi canggih bagi melindungi prasarana digital negara.
Dengan pusat inovasi ini, ST Engineering bukan sahaja memperkukuh pertahanan siber Singapura, malah membuka ruang kepada generasi baru pakar siber untuk berkembang dalam bidang yang semakin kritikal kepada keselamatan nasional.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg