Program Mendaki teroka sistem pembelajaran berpandu AI
Libatkan 445 murid Darjah 5 di bawah Program Pencapaian Mendaki
Para murid di bawah program pembelajaran Yayasan Mendaki berpeluang dilengkapi dengan kemahiran memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), menyusuli satu inisiatif baru pertubuhan tersebut.
Sebagai permulaan, seramai 445 murid Darjah 5 di bawah Program Pencapaian Mendaki (MAP) telah diperkenalkan kepada AI, yang diterapkan ke dalam subjek seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Menyatakan demikian menerusi satu kenyataan media pada 7 Mac, Mendaki berkata pihaknya telah bergabung dengan Yayasan Quantedge pada Disember 2025 untuk menyepadukan satu sistem pembelajaran yang berpandukan AI ke dalam MAP.
Dikenali sebagai KiteSense Luminee, ia merupakan platform di mana murid menggabungkan kuiz dengan kegiatan interaktif, bagi menyesuaikan soalan yang dianggap rumit serta mengenal pasti jurang pembelajaran bagi setiap murid.
Ia juga akan menyediakan maklum balas serta memantau kemajuan murid secara lebih berkesan.
Tenaga pengajar MAP akan menyepadukan Luminee ke dalam bahan pengajaran mereka, menggunakan data pembelajaran masa nyata untuk mengajar pada tahap yang sesuai.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad yang juga Pengerusi Mendaki bersama Anggota Lembaga Mendaki, telah melawat pusat MAP di Sekolah Menengah Canberra pada 7 Mac.
Semasa lawatan itu mereka memerhatikan bagaimana penambahbaikan MAP sedang dilaksanakan di pusat tersebut.
Mereka juga mendekati tutor MAP dan para murid untuk memahami dengan lebih mendalam pengalaman serta kesan program tersebut.
“Kami telah berkembang daripada Program Tuisyen Mendaki kepada Program Pencapaian Mendaki, yang mencerminkan kurikulum dan pendekatan baharu untuk menyokong pembelajaran serta kemajuan akademik murid kami.
“Di bawah Mendaki 2030, kami menyepadukan AI ke dalam kurikulum kami untuk meningkatkan sokongan akademik.
“Melalui perkongsian dengan institusi seperti Perikatan Singapura MIT bagi Kajian dan Teknologi (Smart), dan Yayasan Quantedge, kami menggunakan AI untuk membantu tutor mengenal pasti jurang pembelajaran, memperibadikan bimbingan dan menyokong pemahaman murid, sambil membantu mereka belajar dengan lebih berkesan.
“Terutamanya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah yang mungkin tidak mempunyai akses kepada tuisyen persendirian,” kata Encik Zaqy.
Untuk mengkaji kesan program itu, Mendaki akan bekerjasama dengan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) dalam penilaian dua tahun yang melibatkan sehingga 890 murid Darjah 5.
Kajian itu akan memberikan pandangan tentang cara pembelajaran diperibadikan dengan kaedah AI dan bagaimana ia memberi kesan kepada hasil pembelajaran murid, meneroka cara tenaga pengajar boleh menyokong penyampaian program secara lebih baik, serta mengetengahkan amalan terbaik bagi membimbing program lain pada masa hadapan, tambah Mendaki.

