Projek AI-dilftri: Wartawan BH manfaatkan AI dalam persiapan Raya
Projek AI-dilftri: Wartawan BH manfaatkan AI dalam persiapan Raya
Dengan kecerdasan buatan (AI) kian menjadi alat yang lazim digunakan dalam kehidupan harian, tiga wartawan Berita Harian (BH) telah menguji sejauh mana teknologi ini dapat membantu dalam persiapan Hari Raya.
Dinamakan ‘Projek AIdilfitri’, tugasan ini bertujuan membantu mereka dalam pelbagai jenis persiapan untuk Lebaran nanti.
Ini juga sejajar dengan usaha Singapura yang lebih meluas untuk menggalakkan penggunaan AI.
Daripada membakar kuih tart nanas kepada menghias semula bilik, hingga merancang jalan Raya, masing-masing ingin melihat sejauh mana AI dapat memudahkan ‘tugas’ mereka itu dalam menyambut Raya tahun ini.
Semasa Belanjawan 2026 pada 12 Februari dan perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) baru-baru ini, pelbagai inisiatif diumumkan untuk meningkatkan kemahiran AI di sini.
Ini seperti pembentukan sebuah Majlis AI Kebangsaan baru, yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, untuk menyediakan hala tuju strategik dan memacu agenda AI negara ini.
Selain itu, pemerintah turut memperkenalkan Program Impak AI Nasional (NAIIP) baru di bawah inisiatif Dwikecekapan AI, di mana sekitar 100,000 pekerja bakal menjalani latihan untuk memperkasakan kefasihan mereka dalam menggunakan AI di tempat kerja.
Diketengahkan semasa perbahasan COS, program tersebut juga dijangka menyokong lebih kurang 10,000 perusahaan, terutamanya perniagaan kecil dan sederhana, bagi membantu mereka menyepadukan proses perniagaan dengan AI selama tiga tahun seterusnya.
Mengorak langkah dalam penggunaan AI, wartawan Amirul Hakim Ibrahim menggunakannya untuk mengemas dan menghias semula biliknya.
Setelah mengambil gambar biliknya dan memuat naik gambar tersebut kepada AI, ia mencadangkan susunan perabot dan cara penyimpanan yang optimum.
Ini termasuk cadangan visual bagi memaksimumkan ruang dan beberapa cadangan diubah suai agar lebih praktikal.
Ini seperti menukar dua kotak buku kepada rak yang mampu menampung semua koleksi bukunya itu.
Hasilnya, bilik tersebut menyerupai visi yang dijana AI, tetapi citarasa dan keperluan praktikal penggunanya masih dikekalkan.
Wartawan Khairul Akmal Ali yang baru mendirikan rumah tangga pula memanfaatkan AI untuk merancang laluan ziarah Hari Raya.
Dengan senarai alamat saudara-mara yang tersedia, AI mencadangkan susunan laluan yang cekap termasuk pilihan bas dan MRT.
Penyesuaian juga diketengahkan kepada AI supaya mereka yang lebih tua diziarahi dahulu, menjadikan perjalanan lebih teratur dan mudah diikuti.
AI juga memberi cadangan praktikal untuk memastikan keselesaan sepanjang perjalanan, termasuk membawa powerbank dan kipas tangan bagi menghadapi cuaca panas.
Sementara itu, wartawan ini pula menyahut cabaran membakar kuih tart nanas sendiri.
Menaip arahan kepada AI, ia menjana resipi lengkap termasuk sukatan bahan, cadangan mentega tanpa garam, serta langkah-langkah penyediaan terperinci.
Antaranya, AI mencadangkan agar inti nanas digulung menjadi bebola pada malam sebelumnya dan disimpan dalam peti sejuk, supaya mudah digunakan pada hari pembuatan tart.
Namun, langkah tersebut tidak dituruti dan sebaliknya, beliau memasak sebentar 500 gram daripada sekilo pes nanas yang dibeli, membiarkannya sejuk sebelum digulung menjadi bebola.
Gabungan panduan AI dan sentuhan manusia ini yang menghasilkan kira-kira 60 biji tart nanas.
Rumusannya, jelas bahawa AI boleh menjadi ‘pembantu’ yang berguna dalam persiapan Hari Raya, sama ada untuk mengatur ruang bilik, merancang perjalanan atau menyiapkan kuih tradisional.
Seperti yang kami dapati sepanjang menyertai ‘Projek AIdilfitri’ ini, teknologi menawarkan panduan terperinci dan cadangan praktikal, namun sentuhan peribadi dan pengalaman manusia tetap penting untuk mencapai hasil yang diingini.

