Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma penyedia khidmat didenda $7,000 susulan kejadian warga emas terjatuh dari van

Jun 4, 2025 | 1:35 PM
 Active Global Respite Care, denda, jatuh, warga emas, maut, cuai
Menurut dokumen mahkamah, syarikat Active Global Respite Care gagal melaksanakan langkah keselamatan bagi penggunaan platform pengangkat kerusi roda di bahagian belakang van. - Foto DOKUMEN MAHKAMAH

Dua pekerja dari syarikat penyedia khidmat penjagaan warga emas sedang membantu klien mereka menaiki van syarikat itu apabila salah seorang daripadanya, terjatuh dari platform pengangkat kerusi roda sehingga menyebabkan kepalanya terhentak ke tanah.

Encik Hassan Mohamed Karchi Arsan Osman, 76 tahun, tidak sedarkan diri ketika dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH) pada 3 Februari 2021 dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala pada 9.35 malam hari yang sama.

Pada 3 Jun, Active Global Respite Care didenda $7,000 selepas disabitkan kesalahan di bawah Peraturan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (Pengurusan Risiko).

Menurut dokumen mahkamah, syarikat itu gagal melaksanakan langkah keselamatan bagi penggunaan platform pengangkat kerusi roda yang terletak di bahagian belakang van.

Dua pekerja terbabit masing-masing didenda $10,000 pada Disember 2023, lapor The Straits Times (ST).

Warga Myanmar, Moe Thadar, ketika itu berusia 49 tahun, bertugas sebagai pembantu penjagaan kesihatan, manakala warga Singapura Kwa Kim Seng, ketika itu berusia 67 tahun, bekerja sebagai pemandu van.

Encik Hassan terjatuh akibat kegagalan mereka memastikan brek kerusi rodanya dikunci.

Pendakwa Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Cik Kimberly Boo, memaklumkan mahkamah bahawa syarikat itu memiliki dua van untuk membawa warga emas ulang alik dari rumah mereka ke pusat jagaan di Blok 31A Ghim Moh Link dan setiap van dilengkapi dengan platform pengangkat kerusi roda.

Pada sekitar 4.40 petang, 3 Februari 2021, Moe dan Kwa sedang membantu warga senja menaiki sebuah van di kawasan menunggu pusat jagaan tersebut.

Cik Boo berkata semasa Moe menolak kerusi roda Encik Hassan ke atas platform pengangkat, dia gagal mengunci brek kerusi roda warga emas itu.

Moe kemudian memberi isyarat kepada Kwa untuk pegang kerusi roda Encik Hassan dan menaikkan platform pengangkat itu.

Kwa berbuat demikian sambil berbual dengan rakan sekerja.

Apabila ia hampir sama rata dengan pintu van, Kwa tidak menunggu pembantu kesihatan di dalam van menyambut kerusi roda tersebut.

Kwa melepaskan pegangannya pada kerusi roda Encik Hassan, menyebabkan ia tergolek ke belakang dan jatuh dari platform.

Kepala Encik Hassan terhentak ke tanah dan beliau disahkan meninggal dunia pada hari yang sama.

Cik Boo memberitahu mahkamah bahawa sebelum kejadian, syarikat itu tidak mempunyai penilaian risiko yang bertulis berkaitan van yang mempunyai platform pengangkat kerusi roda.

Pada hari kejadian, pelbagai langkah keselamatan terhadap Encik Hassan tidak dilaksanakan, termasuk memastikan brek kerusi rodanya dikunci.

Peguam bela, Cik Gloria James-Civetta dan Cik Noelle Teoh, yang mewakili Active Global Respite Care, pada 3 Jun memohon agar anak guam mereka dikenakan denda tidak melebihi $5,000.

“Sebelum kejadian pada 3 Februari 2021, Active Global telah beroperasi di Singapura selama beberapa tahun tanpa rekod insiden atau kemalangan serius yang serupa.

“Juga dinyatakan bahawa Almarhum Hassan telah menggunakan perkhidmatan Active Global hampir 500 kali sepanjang tempoh perkhidmatan, tanpa berdepan sebarang masalah,” jelas kededua peguam tersebut.

Dalam dokumen mahkamah, peguam menyatakan bahawa sejak kejadian, anak guam mereka telah mengambil langkah proaktif untuk menambah baik protokol keselamatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg