Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki didakwa beli akaun SIA KrisFlyer secara haram, guna mata ganjaran

May 29, 2025 | 6:02 PM
krisflyer, SIA
Rizaldy Primanta Putra, warga Indonesia berusia 28 tahun, berdepan empat pertuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer. - Foto ZAOBAO

Seorang lelaki didakwa di mahkamah pada 29 Mei selepas dipercayai membeli akaun anggota program ganjaran Singapore Airlines (SIA) KrisFlyer secara haram dan menggunakan mata ganjaran yang terkumpul untuk membuat pembelian.

Rizaldy Primanta Putra, 28 tahun, berdepan empat pertuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.

Dua pertuduhan melibatkan akses tanpa kebenaran ke atas bahan komputer, manakala dua lagi berkaitan pengubahsuaian bahan tersebut tanpa kebenaran, lapor The Straits Times (ST).

Menurut kenyataan polis, selepas didakwa mengakses akaun KrisFlyer itu, Putra – seorang warga Indonesia – terbang ke Singapura pada Jun 2024 dan didakwa menggunakan mata ganjaran daripada akaun berkenaan untuk membeli barangan berjumlah lebih $1,600.

Barangan tersebut termasuk sebuah telefon bimbit Samsung dan sarung telefon di sebuah kedai runcit di Lapangan Terbang Changi, serta beberapa pastri daripada sebuah kedai di Bugis.

Selepas SIA membuat laporan polis pada 11 Oktober 2024, pegawai polis berjaya mengenal pasti identiti Putra, namun beliau telah meninggalkan negara pada September 2024.

Putra kembali ke Singapura pada 11 Januari dan ditahan oleh pegawai Polis Divisyen Lapangan Terbang di Lapangan Terbang Changi.

Di mahkamah pada 29 Mei, Putra menyatakan akan membela diri atas pertuduhan tersebut.

Meskipun Putra berkata dia sudah melantik peguam, tiada peguam hadir di mahkamah untuk mewakilinya. 

Hakim Daerah Wong Li Tein kemudian menangguhkan kes dan membenarkannya membuat dua panggilan telefon untuk menghubungi peguam dan mengurus hal ikat jamin.

Putra akan dibebaskan daripada tahanan jika berjaya mendapatkan penjamin warga Singapura bagi ikat jamin berjumlah $15,000 yang ditetapkan mahkamah.

Putra akan kembali ke mahkamah pada 5 Jun bagi perbicaraan lanjut.

Bagi setiap pertuduhan mengakses bahan komputer secara tidak sah, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga $5,000, atau kedua-duanya sekali.

Bagi setiap pertuduhan mengubah bahan komputer secara tidak sah, pesalah boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga $10,000, atau kedua-duanya.

Dalam satu kenyataan, polis mengingatkan orang ramai supaya melindungi akaun dalam talian mereka dengan mengaktifkan ciri pengesahan pelbagai faktor atau dua faktor.

“Sekiranya anda mengesan sebarang transaksi mencurigakan atau tanpa kebenaran, laporkan segera kepada penyedia perkhidmatan atau bank anda,” tambah polis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg