Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ramai mangsa bahaya dalam talian tidak pasti cara dapat bantuan

Ini antara hasil kajian badan bukan pemerintah, SG Her Empowerment (SHE)
May 31, 2025 | 5:30 AM
SG Her Empowerment (SHE), Cik How Kay Lii, Cik Stefanie Yuen Thio, Cik Natalie Chia,
Barisan panel yang membentangkan dapatan kajian terkini tentang bahaya dalam talian di Pusat Reka Bentuk Nasional, pada 29 Mei di Middle Road, (dari kiri) Ketua Pegawai Operasi SG Her Empowerment (SHE), Cik How Kay Lii; Pengerusi SHE, Cik Stefanie Yuen Thio; dan Pengarah Penyelidikan SHE, Cik Natalie Chia. - Foto ST

Satu kajian baru oleh SG Her Empowerment (SHE) mendedahkan bagaimana bahaya dalam talian boleh memberi kesan mendalam terhadap emosi dan kesihatan mental seseorang.

Ia juga mendapati ramai mangsa tidak berasa selamat dan tidak pasti bagaimana mendapatkan bantuan. Ikuti laporan berikut.

Ketidakpastian dalam mencari saluran sesuai untuk mendapatkan bantuan kekal menjadi halangan utama bagi mangsa yang berhadapan bahaya atau gangguan dalam talian.

Demikian salah satu daripada empat isu utama yang dihadapi mangsa, berdasarkan dapatan kajian SG Her Empowerment (SHE) yang dibentangkan di Pusat Reka Bentuk Nasional pada 29 Mei.

Pertubuhan bukan pemerintah (NGO) itu ditubuhkan pada 2022 untuk memperjuangkan kesaksamaan jantina dan menangani ketidaksamaan jantina yang bersifat sistemik.

Menurut kajian tersebut, di antara isu lain termasuk kesan jangka panjang terhadap mangsa, identiti pelaku yang tidak dikenali, dan bagaimana bahaya dalam talian sering dianggap perkara biasa.

Seramai 25 mangsa berumur antara 18 dengan 45 tahun ditemu bual mengenai kesan bahaya dalam talian terhadap kesihatan mental dan emosi mereka bagi kajian yang dijalankan pada Oktober 2024.

Kajian tersebut turut mendedahkan bahawa mangsa menghadapi kesukaran untuk mencari wadah bagi meluahkan kebimbangan, atau mendapati proses membuat laporan kepada pihak berkuasa sebagai terlalu menakutkan.

Justeru, Pengerusi SHE, Cik Stefanie Yuen Thio, berharap dapatan kajian itu dapat membantu pemerintah apabila ia menubuhkan agensi baru bagi menyokong mangsa bahaya dalam talian.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan pada Oktober 2024 bahawa agensi pemerintah baru akan ditubuhkan untuk membantu mangsa bahaya dalam talian.

Agensi itu akan bertindak bagi pihak mangsa untuk menangani pelaku, serta menghubungi wadah media sosial bagi memastikan kandungan dalam talian dapat dipadamkan dengan segera.

Menurut kajian itu, antara saluran yang kini digunakan oleh mangsa untuk mendapatkan bantuan termasuk menghubungi pusat sokongan; meminta syarikat media sosial memadamkan kandungan; membuat laporan polis; dan memohon perlindungan di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan (Poha) di mahkamah.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) mengenai saluran mana yang dirasanya mempunyai jurang paling mendesak, Cik Yuen berkata:

“Saya rasa sistem yang ada kini agak berpecah belah... jika sesuatu berlaku kepada saya secara dalam talian, saya sendiri tidak tahu saluran mana yang paling sesuai untuk mendapatkan bantuan.

“Setiap saluran ada kekangannya. Jadi saya rasa jurangnya ialah, memandangkan bahaya dalam talian ini masih baru, kita ada pelbagai bentuk bantuan yang terasing, tetapi tiada satu penyelesaian yang menyeluruh.”

SHE telah menjejaki dan mengkaji bahaya dalam talian setiap tahun sejak 2023, dengan tumpuan berbeza setiap tahun.

Kajian 2025 memberi tumpuan pada kesan kemudaratan dalam talian terhadap mangsa dan pengalaman mereka.

Menurut Cik Yuen, jika mangsa diserang secara fizikal, mereka akan rasa selamat apabila berada di rumah dan dikelilingi anggota keluarga.

“Tetapi untuk dalam talian, kita tidak pernah rasa benar-benar selamat kerana peranti elektronik sentiasa di sisi kita, dan kita boleh diserang bila-bila masa.

“Walaupun kita tidak lihat telefon, setiap kali ia berbunyi, jantung kita berdebar.

“Kalau telefon berada dalam mod senyap, kita tertanya-tanya berapa banyak mesej yang akan masuk bila kita bukanya semula,” jelas Cik Yuen.

Ketika membentangkan dapatan kajian tersebut, Pengarah Penyelidikan SHE, Cik Natalie Chia, berkata antara bentuk bahaya yang dilaporkan termasuk bahaya seksual dalam talian, buli siber, pendedahan maklumat peribadi (doxing) dan penyamaran.

Cik Chia menambah, kajian itu mendapati mangsa cenderung mengalami kesan psikologi berpanjangan seperti serangan panik, keresahan dan juga terfikir untuk membunuh diri.

Identiti yang tidak didedah dalam talian turut menambah kepada kesukaran kerana menyebabkan pelaku sukar dikenal pasti, dan mangsa mungkin sukar untuk mencari jalan penyelesaian.

Seorang mangsa, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Nisha (bukan nama sebenar), mengalami gangguan dalam talian antara 2022 dengan 2024.
Seorang mangsa, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Nisha (bukan nama sebenar), mengalami gangguan dalam talian antara 2022 dengan 2024. - Foto ST

Demikian dialami seorang mangsa, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Nisha, (bukan nama sebenar).

Beliau mengalami gangguan dalam talian antara 2022 dengan 2024 menerusi panggilan telefon dan pelaku membuat akaun palsu di media sosial untuk mengintip dan mengganggunya.

Cik Nisha, memberitahu akhbar The Straits Times (ST) bahawa pengalaman itu membuatnya berasa tidak selamat, cemas dan letih secara mental.

Oleh kerana akaun media sosial pelaku adalah tanpa nama, maka sukar bagi Cik Nisha, 41 tahun, mendapatkan keadilan.

Beliau terpaksa mengumpulkan semua bukti sendiri dan mencari corak tingkah laku untuk cuba mengenal pasti pelakunya.

“Saya tahu ia orang yang sama berdasarkan cara dia menulis, tetapi tiada cara untuk membuktikannya,” kata Cik Nisha.

Beliau kemudian menerima nasihat daripada peguam dan mendapati bahawa adalah sukar untuk mendapatkan maklumat daripada wadah media sosial, dan beliau memerlukan dokumen undang-undang untuk membuat permintaan itu.

“Proses ini sepatutnya lebih mudah,” ujar Cik Nisha.

Beliau akhirnya berjaya mendapatkan perintah di bawah Poha terhadap pelaku tersebut.

Bagi menangani isu identiti sebenar seseorang yang tidak didedah dalam talian, SHE mencadangkan perubahan dasar supaya pelaku boleh dikenal pasti oleh wadah media sosial apabila laporan gangguan dibuat.

Pengguna yang sering dilaporkan kerana tindakan berbahaya juga patut disahkan identitinya.

SHE turut menggesa supaya wadah media sosial dipertanggungjawabkan jika gagal memadam kandungan berbahaya dengan cepat atau jika mereka berulang kali gagal mengambil tindakan.

Pusat SHECares@SCWO, yang dilancarkan oleh SHE bersama Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) pada 2023, telah membantu lebih 250 orang setakat ini.

Ia juga telah mengemukakan lebih 175 laporan kepada wadah dalam talian.

Pusat sokongan itu menyediakan khidmat kaunseling dan klinik guaman secara percuma.

Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian bantuan di 8001-01-4616 atau WhatsApp ke talian 6571-4400.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg