Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma setempat menang kontrak $313.9j bina depoh bas di Lorong Halus

Dec 26, 2024 | 2:04 PM
Koh Brothers Eco Engineering berkata kontrak SportSG itu serta lain yang diperoleh sejak 30 Jun boleh meningkatkan pendapatan masa depan mereka kepada anggaran $585.7 juta menjelang 2027.
Koh Brothers Eco Engineering berkata kontrak SportSG itu serta lain yang diperoleh sejak 30 Jun boleh meningkatkan pendapatan masa depan mereka kepada anggaran $585.7 juta menjelang 2027. - Foto BT

Penyedia penyelesaian kejuruteraan, Koh Brothers Eco Engineering, dianugerah kontrak bernilai $313.9 juta oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) melalui anak syarikat milik penuhnya, Koh Brothers Building & Civil Engineering Contractor (KBCE).

Di bawah kontrak itu, KBCE akan mereka bentuk dan membina depoh bas bertingkat di Lorong Halus dalam tempoh masa 54 bulan, iaitu dari 6 Januari 2025 hingga menjelang 2029, menurut syarikat tersebut pada 25 Disember.

Kontrak itu merangkumi reka bentuk dan pembinaan sistem seni bina, mekanikal dan elektrikal, serta alat kelengkapan depoh bas.

Depoh bas itu akan mempunyai bangunan utama dengan kemudahan operasi dan tempat letak kenderaan, serta bangunan perkhidmatan sokongan sampingan, lengkap dengan kemudahan yang diperlukan.

Menurut Koh Brothers Eco, tempat letak kenderaan depoh empat tingkat itu dijangka memuatkan paling kurang 550 bas. 

Antara kemudahan yang disediakan di bangunan utamanya ialah kemudahan pentadbiran, kawasan operasi, stor penyimpanan, pejabat perbengkelan dan prasarana untuk teknisyen.

KBCE turut mengendalikan kerja penambahbaikan jalan – termasuk pembinaan jalan baru, pelebaran atau penjajaran semula jalan, serta pembentukan persimpangan trafik berisyarat untuk memudahkan pergerakan kenderaan keluar masuk dari depoh bas tersebut, kata syarikat itu.

Ketua Eksekutif Koh Brothers Eco, Encik Paul Shin, berkata dengan penambahan kontrak depoh bas itu, kumpulan tersebut kini mempunyai senarai kontrak, yang masih dalam proses pelaksanaan, bernilai kira-kira $899.7 juta, lapor The Business Times (BT). 

Sebelum ini, KBCE memenangi kontrak bernilai $77.6 juta daripada Majlis Sukan Singapura (SportSG) untuk pembangunan kemudahan barunya di Toa Payoh.

Sebagai sebahagian daripada kontrak itu, KBCE bertanggungjawab melaksanakan kerja cerucuk, penambahbaikan tanah dan pemasangan struktur penstabil tanah di tapak Pembangunan Bersepadu Toa Payoh.

Kumpulan itu berkata kontrak SportSG itu serta lain yang diperoleh sejak 30 Jun boleh meningkatkan pendapatan masa depan mereka kepada anggaran $585.7 juta menjelang 2027.

“Kami akan terus membida secara strategik bagi lebih banyak projek yang kami mempunyai kelebihan daya saing... bagi mengekalkan pendapatan sihat untuk menyokong pertumbuhan (perniagaan secara) mampan.”

Koh Brothers Eco juga berkata pendapatan mereka disokong baik dengan kontrak yang sedang dijalankan bagi agensi air Singapura PUB dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). 

Memandangkan KBCE memperoleh gred ‘A1’ daripada Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) untuk kededua kategori, pembinaan dan kejuruteraan awam, syarikat itu dibolehkan membida bagi projek pembinaan dan kemudahan awam tanpa had nilai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg