Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: Firma S’pura kurang arif tentang FTA, perlu tingkat kesedaran

Jul 22, 2025 | 6:17 PM
Sesi perbincangan semasa acara Prapersidangan Institut Pengajian Dasar (IPS) dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), pada 22 Julai, dianggotai Presiden Persekutuan Perkilangan Singapura, Encik Lennon Tan (kiri). Turut hadir Pengarah Pusat Pembangunan Antarabangsa Duke, Profesor Edmund Malesky; Profesor Madya Kim Soo Yeon (Sekolah Dasar Awam dan Hal Ehwal Global, Universiti British Columbia) dan moderator bagi sesi itu, Zamil Penyelidik Kanan IPS, Dr Faizal Yahya.
Sesi perbincangan semasa acara Prapersidangan Institut Pengajian Dasar (IPS) dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), pada 22 Julai, dianggotai Presiden Persekutuan Perkilangan Singapura, Encik Lennon Tan (kiri). Turut hadir Pengarah Pusat Pembangunan Antarabangsa Duke, Profesor Edmund Malesky; Profesor Madya Kim Soo Yeon (Sekolah Dasar Awam dan Hal Ehwal Global, Universiti British Columbia) dan moderator bagi sesi itu, Zamil Penyelidik Kanan IPS, Dr Faizal Yahya. - Foto IPS

Firma yang berpangkalan di Singapura menyatakan hasrat untuk memperluas liputan Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) dan mahukan panduan lebih jelas.

Demikian dapatan utama dalam laporan baru mengenai tindak balas tujuh syarikat ekonomi Asia Tenggara terhadap trend ekonomi dan teknologi.

Terdapat juga minat yang kuat terhadap panduan yang menjelaskan FTA yang boleh digunakan dan cara syarikat kecil dan sederhana (SME) layak untuk mendaftar, terutama dalam sektor seperti logistik, perkhidmatan digital dan pengilangan khusus.

Laporan bertajuk, ‘Negara, Pasaran dan Penyepaduan Serantau’, membentangkan penemuan penting daripada tinjauan peringkat firma berbilang negara yang dijalankan sepanjang 2023 dan 2024 di tujuh ekonomi Asia Tenggara – Singapura, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina dan Vietnam.

Dikongsi semasa acara Prapersidangan Institut Pengajian Dasar (IPS) dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), ‘Bandar Global Singapura: SG60 dan Selanjutnya’ pada 22 Julai di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, laporan itu menyerlahkan kepentingan mendapatkan perjanjian perdagangan yang disesuaikan dengan ekonomi digital dan perdagangan perkhidmatan.

Dalam pada itu, FTA menawarkan syarikat laluan berstruktur berasaskan peraturan untuk mengekalkan akses kepada pasaran antarabangsa utama.

Namun, perjanjian tersebut memerlukan sijil Peraturan Asal (ROO) atau sijil asal (CO), yang mengesahkan produk yang dieksport memenuhi kriteria asal di bawah FTA tertentu.

Walaupun banyak firma di Asia Tenggara telah mula memanfaatkan FTA, pengambilan masih tidak sekata merentas negara.

Contohnya, dalam kalangan firma yang berpangkalan di Singapura, 29.7 peratus melaporkan telah memperoleh sijil ROO di bawah sekurang-kurangnya satu FTA.

Ia serupa dengan Vietnam, dengan kadar pengambilan sebanyak 28.5 peratus, dan lebih rendah sedikit daripada kadar pengambilan di Malaysia, iaitu 38.7 peratus.

Indonesia melaporkan kadar pengambilan sebanyak 47.8 peratus, manakala Laos mempunyai kadar 42.9 peratus, dan Filipina menerajui dengan kadar pengambilan 58.0 peratus.

Antara lain, 35 peratus firma Singapura menyebutkan ketiadaan FTA yang berkaitan untuk barangan dagangan mereka sebagai sebab utama untuk tidak mendapatkan ROO.

Ia menjejas firma dalam sektor tertiari (merangkumi semua kegiatan ekonomi yang menyediakan perkhidmatan dan bukannya menghasilkan barang) dan kuaterner (merangkumi kegiatan intelektual atau berasaskan pengetahuan).

Dalam sektor tersebut, FTA sedia ada mungkin tidak terpakai atau dilihat menawarkan nilai terhad.

Di samping itu, 30 peratus daripada firma berpangkalan di Singapura yang tidak memohon, melaporkan bahawa jumlah eksport mereka terlalu kecil untuk memenuhi ambang bagi pensijilan ROO.

Sebanyak 15 peratus responden menyatakan kekurangan permintaan pelanggan untuk penggunaan FTA sebagai satu sebab untuk tidak mendapatkan ROO.

Sementara itu, 10 peratus memberi sebab ketidakpastian tentang cara memohon dan sebanyak 5 peratus berkata kerumitan atau kos prosedur merupakan penghalang bagi mendapatkan pensijilan ROO.

Justeru, meskipun banyak firma di seluruh Asia Tenggara mula menggunakan FTA, jurang yang ketara kekal dalam kesedaran, kapasiti dan pengetahuan prosedur.

Di Singapura, walaupun sokongan institusi kukuh dan persekitaran perniagaan menggalakkan, lebih daripada dua pertiga firma sama ada tidak menggunakan atau tidak pasti tentang status ROO mereka.

Bilangan responden dalam sektor perkhidmatan dan SME yang agak tinggi membantu menjelaskan penemuan tersebut.

Antara soalan yang dikemukakan sewaktu panel perbincangan di acara prapersidangan itu adalah mengenai keberkesanan FTA bagi perniagaan.

Presiden Persekutuan Perkilangan Singapura, Encik Lennon Tan, berkata ia mungkin persoalan tentang kekurangan pengetahuan.

“Saya fikir itu adalah persoalan pengetahuan, dan itulah sebabnya Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) menawarkan geran sehingga $100,000 kepada perniagaan yang menjalankan perdagangan serantau, terutama yang dipengaruhi oleh keadaan tarif Amerika Syarikat.

“Ini akan membolehkan mereka mendapatkan pakar dalam FTA, untuk membantu syarikat mereka.

“Kadangkala cara anda mengklasifikasikan kod produk anda, atau kod Sistem Harmoni (HS) menimbulkan banyak perbezaan.

“Dengan teknologi AI, adakah kita mampu mewujudkan alat untuk benar-benar membantu SME, terutama menjawab beberapa soalan mereka dan membimbing mereka, langkah demi langkah,” kata Encik Tan.

Lantas, firma memohon agar proses permohonan ROO dipermudahkan, latihan tentang kelayakan dan manfaat FTA tertentu diberikan, serta alat digital atau khidmat nasihat yang boleh memadankan produk mereka dengan perjanjian perdagangan berkaitan disediakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg