Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha garap potensi negara Asean buka banyak peluang kerja

PM Wong: Negara serantau perlu pembaharuan lebih berani bagi tarik pelaburan dalam ekon sejagat yang kian berpecah
Jul 5, 2025 | 7:33 PM
PM Wong, lawrence wong, asean
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata jika Asean dapat menjana potensi mereka, ia mampu membawa kepada lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan taraf kehidupan dan masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyatnya - Foto MDDI

Negara Asean boleh melakukan lebih banyak lagi jika mereka menggarap potensi mereka, malah dengan keamanan, kestabilan serta pertumbuhan yang berterusan, kerjasama satu hati ini mampu mengubah seluruh rantau ini.

Ini sekali gus akan membawa kepada lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan taraf kehidupan dan masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyatnya, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menerusi satu mesej videonya.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, menyampaikan mesej tersebut di YouTube pada 5 Julai, sebagai mengulas lawatan pengenalannya sebagai Perdana Menteri Singapura ke negara Asean.

Selain integrasi antara negara Asean, Encik Wong berkata Asean juga perlu memperkukuh hubungan dengan dunia luar.

Antara usaha yang sedang dilakukan ialah penambahbaikan pada Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) sedia ada dan usaha meneroka perjanjian baru seperti dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Kesatuan Eropah.

Perjanjian itu membuka pintu kepada perniagaan di Asean dan menjadikannya lebih terhubung dengan pasaran sejagat.

“Malaysia, sebagai Pengerusi Asean tahun ini (2025), telah memperjuangkan pembaharuan ini.

“Singapura menyokong sepenuhnya usaha tersebut. Momentum ini akan diteruskan dengan Filipina sebagai Pengerusi tahun depan (2026), dan apabila Singapura mengambil alih sebagai Pengerusi pada 2027 – tahun penting yang menandakan ulang tahun ke-60 Asean,” ujar Encik Wong.

Beliau telah menamatkan lawatan pengenalannya ke beberapa ibu kota negara Asean, kecuali Myanmar, dengan menambah lawatan ke Myanmar akan dilaksanakan kelak apabila keadaan lebih sesuai.

Dalam pesanannya, Encik Wong turut menggariskan kepentingan memastikan negara di rantau ini kekal utuh dan bersatu terutamanya dengan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

Menyingkap permulaan penubuhan Asean pada 1967, yang turut melihat dunia berada dalam keadaan huru-hara di tengah-tengah Perang Dingin, Encik Wong berkata:

“Dahulu, kita pernah menjadi medan bagi perang proksi kuasa-kuasa besar. Kita tidak mahu perkara itu berulang.

“Sebaliknya, kita mesti bekerjasama untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan; serta memastikan Asean kekal terbuka dan terangkum – sebuah rantau yang tidak didominasi oleh mana-mana kuasa tunggal, tetapi di mana semua kuasa besar terlibat dan mempunyai kepentingan.”

Walaupun setiap daripada 10 negara Asean terbatas dari segi skala secara negara persendirian, apabila digabungkan, ia mempunyai pengaruh yang besar, kata Encik Wong.

Kini, Asean mempunyai jumlah penduduk sekitar 700 juta orang dan merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia – selepas Amerika Syarikat, China, Germany dan Jepun.

Ia juga dijangka bakal menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia jelang 2030.

Encik Wong menekankan dekad yang seterusnya amat penting dalam Asean merealisasikan potensi mereka dalam hal seperti pekerjaan, peluang dan taraf kehidupan.

“Bagaimanakah kita boleh mencapai matlamat ini? Kuncinya terletak pada integrasi yang lebih rapat antara ekonomi Asean.

“Kita perlu menjadikan Asean sebuah pasaran tunggal yang lebih lancar dan berdaya saing – satu rantau yang menarik perniagaan dan pelaburan yang sedang mencari unsur gantian dalam ekonomi sejagat yang semakin berpecah,” ujarnya, yang menambah rantaian bekalan Asean merangkumi pelbagai negara yang saling melengkapi dengan memanfaatkan kelebihan masing-masing.

Encik Wong berkata untuk mencapai matlamat tersebut, Asean memerlukan pembaharuan yang lebih berani.

Ini termasuk mengurangkan halangan perdagangan dan pelaburan, memudahkan syarikat beroperasi merentasi sempadan dan berunding untuk Persetujuan Rangka Kerja Ekonomi Digital (Defa).

Antara langkah berani yang boleh diambil ialah dengan menghubungkan sistem pembayaran masa nyata, sebagaimana yang telah dilakukan antara Singapura, Malaysia dengan Thailand, serta meningkatkan prasarana fizikal seperti sambungan rel dan grid kuasa.

Ini di samping mendalami perkongsian dengan negara lain di dunia agar dapat menjadikan Asean lebih kukuh, berkesan dan relevan untuk masa depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg