Flat BTO tertinggi 60 tingkat bakal hiasi Pearl’s Hill

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Flat BTO tertinggi 60 tingkat bakal hiasi Pearl’s Hill

Ia 10 tingkat lebih tinggi berbanding The Pinnacle@Duxton
Mar 4, 2026 | 6:13 PM

Flat BTO tertinggi 60 tingkat bakal hiasi Pearl’s Hill

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
flat HDB, BTO Singapura, Pearl’s Hill
Lakaran artis bagi pembangunan perumahan awam baru setinggi 60 tingkat yang akan dibina di Pearl’s Hill, berhampiran stesen MRT Outram Park dan di kaki bukit Pearl’s Hill City Park. - Foto MND

Flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tertinggi di Singapura, yang bakal mencecah ketinggian 60 tingkat, akan dibina di kaki bukit Pearl’s Hill di Outram Park.

Ia juga 10 tingkat lebih tinggi berbanding The Pinnacle@Duxton, yang merupakan projek perumahan awam tertinggi di Singapura kini.

Projek Bina Ikut Tempahan (BTO) sebesar 1,700 unit itu merupakan kali pertama dalam tempoh lebih 40 tahun sejak perumahan awam dibina di kaki bukit tersebut.

Langkah menyuntik perumahan baru ke dalam bandar lama adalah sebahagian daripada rancangan pemerintah untuk membina lebih banyak flat dengan lebih pantas, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Berucap semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pembangunan Negara (MND) di Parlimen pada 4 Mac, Encik Chee berkata perubahan kawal selia kini membenarkan bangunan yang lebih tinggi dibina berhampiran lapangan terbang.

“Perubahan ini membebaskan lebih banyak ruang udara untuk tujuan bukan penerbangan, dan memberi peluang kepada kami mempergiatkan pembangunan di pelbagai bahagian di Singapura.

“Dengan perubahan kawal selia ini serta pengalaman kami di Pearl’s Hill, HDB akan mencari lebih banyak peluang membina flat yang lebih tinggi di seluruh Singapura.

“Usaha ini akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti tanah, serta menyokong rancangan kami untuk terus menyediakan bekalan flat HDB yang kukuh bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat Singapura,” kata Encik Chee.

Selain projek BTO di Pearl’s Hill, satu lagi projek BTO akan dilancarkan di Toa Payoh West, berhampiran stesen MRT Caldecott.

Sebanyak 1,600 unit, termasuk flat sewa awam, flat Flexi dua bilik, flat empat bilik, dan Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA) pertama di Toa Payoh akan dibina di situ.

Beliau menambah projek BTO di Toa Payoh West itu akan membabitkan sebuah taman kejiranan baru, dengan ruang untuk penduduk bersenam, bermain, berehat dan menikmati aktiviti terapeutik.

Ini di samping kemudahan komersial seperti pusat penjaja dan restoran makanan segera, pasar raya, kedai runcit, serta pusat penjagaan kanak-kanak.

Satu Pusat Penuaan Aktif (AAC) juga akan ditubuhkan untuk memenuhi keperluan penduduk CCA dan warga emas lain dalam masyarakat tersebut.

Dalam pada itu, lebih daripada 10,000 unit kediaman tambahan di seluruh Toa Payoh West dan Mount Pleasant bakal dilancar oleh pemerintah.

Justeru, taman kejiranan tambahan juga akan dibina, di samping kemudahan seperti sekolah, ruang masyarakat dan pilihan pengangkutan yang mencukupi.

“MND akan terus membangunkan dan menyuntik kesegaran ke Toa Payoh serta estet lama yang lain, sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk menyediakan bekalan perumahan yang kukuh bagi rakyat Singapura,” kata Encik Chee.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg