Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Flat di Tiong Bahru diserbu, hasil ubat rangsang seks secara haram

Apr 21, 2025 | 5:53 PM
Sekitar 18,000 unit barang haram telah dirampas semasa serbuan pada 21 Mac.
Sekitar 18,000 unit barang haram telah dirampas semasa serbuan pada 21 Mac. - Foto HSA

Seorang lelaki berusia 36 tahun sedang membantu Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam siasatan terhadap penghasilan ubat perangsang seks secara haram di Singapura – kes pertama seumpamanya di sini.

Dalam satu kenyataan pada 21 April, agensi itu berkata siasatan tersebut melibatkan penghasilan dan pembekalan ubat perangsang seks secara haram, serta penjualan e-rokok atau ‘vape’.

Ubat perangsang seks, peralatan pembuatan dan 30 ‘vape’ bernilai lebih $51,000, dirampas dari sebuah flat di Beo Crescent, Tiong Bahru, semasa serbuan pada 21 Mac itu.

Sekitar 18,000 unit barang haram telah dirampas, lapor The Straits Times (ST).

HSA menjalankan serbuan tersebut selepas menerima maklumat bahawa penghuni flat itu mungkin terlibat dalam penghasilan dan penyimpanan produk kesihatan secara haram.

Peralatan dan kelengkapan yang dirampas telah digunakan untuk menghasilkan kapsul, termasuk mesin untuk membungkus pek dan mengisi kapsul, kata HSA.

Turut dirampas ialah label bercetak untuk produk perangsang seks, kapsul gelatin kosong, botol dan bekas, tambahnya.

Produk kesihatan yang dihasilkan di premis tidak berlesen boleh membawa risiko kesihatan yang amat besar kepada pengguna, kata Pengarah Penguatkuasaan HSA, Cik Annie Tan.

“Tidak ada cara mudah untuk mengetahui apakah kandungan kapsul tersebut dan akibatnya akan menjadi sangat buruk sekiranya tempat pengeluaran haram ini tidak ditutup,” tambah beliau.

HSA berkata ia belum mengesan penjualan produk yang dihasilkan secara haram itu dalam talian, tetapi telah memaklumkan kepada wadah e-dagang dan media sosial supaya menghalang penyenaraian produk haram tersebut.

Pada 2024, HSA menemui dan mengeluarkan lebih 7,300 penyenaraian produk kesihatan haram di platform e-dagang dan media sosial tempatan.

Angka itu menurun berbanding lebih 12,000 penyenaraian serupa yang ditemui dan dikeluarkan pada 2023.

Sesiapa yang disabitkan kesalahan mengimport, mengeluarkan atau membekalkan produk kesihatan haram boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun dan denda $50,000.

Kinetics Empire, yang sebelum ini dikenali sebagai Vision Empire International, telah didenda $25,000 pada September 2023 kerana menghasilkan lebih 105,000 pelitup muka dalam keadaan yang tidak bersih dan tanpa lesen yang sah.

Mereka yang disabitkan kesalahan mengimport, mengedar atau menjual ‘vape’ pula, boleh dikenakan denda $10,000 atau penjara enam bulan bagi kesalahan pertama.

Hukuman akan digandakan bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg