Rokok elektronik (e-rokok) bernilai lebih $200,000 yang disasarkan untuk dijual dirampas oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 28 Februari dan 1 Mac.
Dalam satu kenyataan bersama pada 24 Mac, HSA dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan dua kes tersebut melibatkan rampasan hampir 10,000 e-rokok.
Menggunakan e-rokok atau ‘vape’ adalah haram di Singapura. Pemilikan, penggunaan, serta pembelian e-rokok dan produk berkaitan telah diharamkan sejak Februari 2018, lapor The Straits Times (ST).
Dalam kes pertama pada 28 Februari, HSA menyiasat penghantaran e-rokok yang ditemui di sebuah gudang di Sungei Kadut.
Ia menjumpai 25 karton yang mengandungi sekitar 5,000 e-rokok bernilai sekitar $110,000.
Pada hari yang sama, HSA menangkap dua lelaki berusia 32 dan 31 tahun yang datang untuk mengambil penyedut wap tersebut. Kededua lelaki itu sedang membantu dalam siasatan.
Dalam kes kedua pada 1 Mac, pegawai ICA di Pusat Pemeriksaan Tuas menemui kira-kira 4,800 e-rokok yang disembunyikan di antara barang muatan dalam sebuah lori yang memasuki Singapura.
E-rokok tersebut dianggarkan bernilai $105,000.
Kes itu dirujuk kepada HSA dan pemandu lori, lelaki berusia 24 tahun, sedang membantu dalam siasatan.
Dalam satu kenyataan bersama, pihak berkuasa mengingatkan orang ramai bahawa mengimport, mengedar, menjual atau menawarkan untuk menjual e-rokok dan komponen-komponennya adalah satu kesalahan.
Sesiapa yang disabitkan dengan kesalahan ini boleh didenda sehingga $10,000, atau dipenjara sehingga enam bulan, atau kededuanya, bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan seterusnya, individu yang disabitkan boleh didenda sehingga $20,000, dipenjara sehingga 12 bulan, atau kededuanya.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai promosi haram, pengimportan, pengedaran, penjualan atau tawaran untuk menjual e-rokok boleh menghubungi Cawangan Peraturan Tembakau HSA di 6684-2036 atau 6684-2037 antara 9 pagi dengan 5.30 petang pada hari bekerja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg