Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Flat di Toa Payoh terbakar, dua dibawa ke hospital

May 15, 2025 | 4:39 PM
flat, terbakar, toa payoh, scdf
Kebakaran berlaku di sebuah unit tingkat 10, Blok 226, Lorong 8 Toa Payoh, sekitar 10.50 malam pada 14 Mei berpunca daripada bateri alat pergerakan peribadi (PMD). - Foto FACEBOOK SCDF

Dua individu dibawa ke hospital pada 14 Mei selepas sebuah flat di Toa Payoh terbakar, dipercayai berpunca daripada bateri alat pergerakan peribadi (PMD).

Anggota bomba dikerahkan ke lokasi kebakaran di Blok 226, Lorong 8 Toa Payoh, sekitar 10.50 malam, kata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam satu hantaran di Facebook pada 15 Mei.

Setibanya mereka di tempat kejadian, ruang tamu unit di tingkat 10 sedang terbakar dan mereka terpaksa memecah masuk ke dalam unit yang dipenuhi asap itu untuk memadamkan api menggunakan jet air.

Seorang individu yang ditemui di dalam bilik tidur, telah dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) selepas paramedik mengesahkan beliau mengalami kesan melecur dan terhidu asap, lapor The Straits Times (ST).

Polis dan SCDF turut bantu memindahkan sekitar 30 penduduk dari unit berdekatan, termasuk seorang dari unit di tingkat 14 yang dikejarkan ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH) selepas sesak nafas.

Menurut SCDF, siasatan awal menunjukkan kebakaran itu dipercayai berpunca daripada bateri PMD di ruang tamu.

SCDF mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan bateri bukan asli untuk alat mobiliti aktif mereka – termasuk PMD dan basikal guna kuasa (PAB) – bagi mengelakkan kejadian kebakaran seperti ini.

“Selain itu, elakkan daripada mengecas bateri PMD atau PAB terlalu lama atau sepanjang malam,” tambah kenyataan itu.

Kebakaran melibatkan alat mobiliti aktif terus membimbangkan, dengan jumlah kes dilaporkan meningkat selama dua tahun berturut-turut pada 2023 dan 2024.

Laporan tahunan SCDF yang diterbitkan pada Februari menunjukkan terdapat 67 kes kebakaran melibatkan alat mobiliti aktif pada 2024, iaitu 21.8 peratus lebih tinggi berbanding 55 kes yang direkodkan pada 2023.

Sebahagian besar kejadian berlaku di rumah, dengan 44 kes kebakaran di kediaman dilaporkan pada 2024.

Menurut SCDF, salah satu punca utama peningkatan kes kebakaran melibatkan alat mobiliti aktif disebabkan pengubahsuaian peranti, termasuk menggunakan bateri tambahan yang bukan sebahagian daripada komponen asal peranti tersebut.

Dalam hantaran Facebook pada 15 Mei, SCDF turut menasihatkan pengguna agar tidak mengecas alat mobiliti aktif berhampiran bahan yang mudah terbakar atau di sepanjang laluan keluar kecemasan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg