Topik diikuti
Pergi ke BHkuFlat Toa Payoh, Tengah paling popular pada pelancaran BTO Nov
Hong Tat: Peningkatan berlaku seiring dengan pelaksanaan had pendapatan yang lebih tinggi.
Flat Toa Payoh, Tengah paling popular pada pelancaran BTO Nov
Flat empat bilik di Toa Payoh dan Tengah paling diminati dalam kalangan pembeli rumah kali pertama semasa pelancaran jualan Bina Ikut Tempahan (BTO) terbaharu Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Kadar permohonan itu mencatatkan paras tertinggi sejak Ogos 2022.
Peningkatan itu berlaku seiring dengan pelaksanaan had pendapatan yang lebih tinggi, iaitu $16,000 untuk isi rumah dan $8,000 bagi individu bujang. Permohonan mula dibuka pada 4 November.
Setakat 5 petang pada 11 November, terdapat 35,603 pemohon bagi 7,964 flat BTO — iaitu 4.5 pemohon bagi setiap flat.
Dalam hantaran di Facebook pada 11 November, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata pemerintah melihat minat yang kuat terhadap flat yang ditawarkan.
Beliau menambah bahawa ini merupakan jualan BTO pertama sejak had pendapatan bagi keluarga dan bujang dinaikkan.
Bagi keluarga kali pertama yang memohon flat tiga bilik dan lebih besar, Encik Chee berkata kadar permohonan median ialah 2.6 pemohon bagi setiap flat. Pada jualan sebelum ini, iaitu Jun 2026, kadarnya ialah 1.4.
Permintaan turut berbeza mengikut projek.
Flat empat bilik di Toa Payoh dan Tengah mendapat sambutan tinggi dalam kalangan pembeli rumah kali pertama, dengan masing-masing mencatatkan kadar permohonan sebanyak 6.7 dan 5.3 bagi setiap unit yang ditawarkan.
Kadar permohonan bagi flat tiga hingga lima bilik di Sembawang lebih rendah, iaitu 1.0 dan ke bawah, tambah Encik Chee.
“Peningkatan ini tidak menghairankan kerana lebih ramai warga Singapura kini layak memohon flat BTO selepas had pendapatan dinaikkan,” kata Encik Chee.
Beliau berkata, walaupun bekalan flat Flexi dua bilik ditambah dalam jualan kali ini, permintaan daripada bujang kali pertama tetap kukuh.
Kadar permohonan mediannya 8.2, setanding dengan kadar 7.8 pada jualan sebelum ini pada Jun, tambah Encik Chee.
Projek Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA) di Toa Payoh pula mencatat 2.0 pemohon bagi setiap flat daripada warga emas.
Kadar itu lebih tinggi berbanding projek CCA terdahulu di Sengkang dan Geylang, masing-masing 0.7 dan 0.9.
Dengan jualan terakhir itu, Encik Chee berkata HDB sudah melancarkan 23,928 flat baharu pada 2026.
Pada Februari 2027, Encik Chee berkata HDB akan melancarkan sekitar 4,300 flat BTO di Bishan, Tampines, Tengah dan Toa Payoh, bersama jualan baki flat serentak yang menawarkan 5,000 flat lagi.
“Kami akan terus berusaha menyediakan bekalan yang kukuh dan campuran pilihan perumahan awam yang baik, supaya lebih ramai rakyat Singapura dapat mencapai impian memiliki rumah,” kata Encik Chee.
Penganalisis hartanah mengaitkan permintaan yang lebih tinggi pada November dengan had pendapatan yang lebih tinggi, serta projek-projek yang dilancarkan di lokasi-lokasi popular seperti Toa Payoh dan Bayshore.
Pengarah kanan analitik data di agensi hartanah Huttons Asia, Encik Lee Sze Teck, berkata ini merupakan kadar permohonan BTO tertinggi sejak Ogos 2022, apabila kadarnya ialah 7.8.
Kadar terkini pada 11 November menunjukkan lebih enam pemohon kali pertama bersaing bagi setiap satu daripada 584 flat empat bilik di Toa Payoh Hillside, projek Prime bersebelahan stesen MRT Caldecott.
Flat itu dikenakan bayaran balik subsidi sebanyak 11 peratus.
Flat Prime dan Plus terletak lebih dekat dengan pusat bandar, pusat pengangkutan dan kemudahan, dan datang dengan syarat jualan semula yang lebih ketat.
Kedua-duanya mempunyai Tempoh Penginapan Minimum (MOP) selama 10 tahun. Flat Prime pula dikenakan bayaran balik subsidi yang lebih tinggi apabila dijual semula.