Pemerintah akan meningkatkan had pendapatan untuk keluarga yang membeli flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bersubsidi dan Kondominium Eksekutif (EC) baharu untuk memberi lebih ramai pembeli rumah akses kepada pilihan perumahan mampu milik.

Peluang undian tambahan juga akan diberikan kepada setiap anak warganegara Singapura berumur 18 tahun dan ke bawah untuk keluarga kali pertama, atau mereka yang sedang hamil.

Demikian diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 23 Ogos yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio.

“Kami mahu memastikan sebahagian besar pasangan rakyat Singapura terus mendapat akses kepada perumahan awam bersubsidi,” kata Encik Wong.

“Oleh itu, kami akan menaikkan had pendapatan. Bagi rumah BTO (Bina Ikut Tempahan): ia akan dinaikkan daripada $14,000 kepada $16,000. Bagi Kondominium Eksekutif (EC): daripada $16,000 kepada $18,000.”

Perubahan ini akan menjejas keluarga yang layak yang memohon Surat Kelayakan Flat HDB (HFE) mulai 24 Ogos dan seterusnya.

Khususnya, ia akan menjejas mereka yang membeli flat BTO baharu, flat HDB jualan semula dengan Geran Perumahan CPF, atau yang ingin mendapatkan pinjaman perumahan HDB untuk pembelian mereka.

Sehubungan itu, had pendapatan bulanan isi rumah untuk golongan bujang yang layak berumur 35 tahun dan ke atas yang membeli flat HDB bersubsidi atau mendapatkan pinjaman perumahan HDB juga akan dinaikkan daripada $7,000 kepada $8,000.

Bagi mereka yang membeli EC, had pendapatan yang disemak semula akan dikenakan bagi unit baharu di EC dengan tarikh tutup tender jualan tanah pada atau selepas 24 Ogos.

Had pendapatan yang disemak semula tidak akan dikenakan bagi unit baki di EC sedia ada, atau unit baharu di EC dengan tender jualan tanah yang diberikan sebelum 24 Ogos.

Semasa ucapannya, Encik Wong turut mengumumkan bahawa pemerintah akan menyediakan lebih banyak peluang undian kepada keluarga kali pertama yang mempunyai anak atau sedang hamil apabila memohon rumah baharu mereka.

Satu peluang mengundi tambahan akan disediakan buat keluarga untuk setiap kanak-kanak warganegara Singapura berumur 18 tahun dan ke bawah.

Ini akan berkuat kuasa bagi semua permohonan flat BTO dan Jualan Baki Flat (SBF), bermula dari jualan Februari 2027.

“Jadi, kita akan memberi keluarga pembeli kali pertama yang memohon rumah baharu satu peluang undian tambahan – bagi setiap anak yang mereka miliki atau yang sedang dikandung.

“Langkah ini akan meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan rumah secara ketara.

“Lebih ramai anak yang anda miliki, lebih banyak peluang undian yang akan anda terima – kerana kami mahu membantu keluarga yang sedang membesar mendapatkan rumah lebih cepat,” kata Encik Wong.

Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan HDB, dalam satu kenyataan bersama pada 23 Ogos, berkata jualan BTO seterusnya akan ditunda dari Oktober kepada November.

Ini bagi memberi bakal pembeli flat masa yang mencukupi untuk menyemak semula pelan perumahan mereka dan memohon surat HFE di bawah had pendapatan yang disemak semula.

Kira-kira 7,960 flat di Bedok, Geylang, Sembawang, Tengah, Toa Payoh dan Yishun akan dilancarkan dalam jualan BTO November yang akan datang.

Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA) juga akan ditawarkan di Toa Payoh, dengan butiran lanjut tentang projek-projek tersebut, termasuk klasifikasinya, akan dikongsi semasa pelancaran.