Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan majikan terhadap inisiatif kesihatan mental meningkat

Hampir 100 majikan sertai program sediakan inisiatif galak kesihatan mental, manfaatkan kira-kira 10,000 pekerja sejak Mac 2023
Jan 2, 2025 | 5:30 AM
Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) telah melihat peningkatan positif dalam bilangan majikan yang mendapatkan panduan mengenai pelaksanaan program kesihatan mental di tempat kerja sejak 2023.
Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) telah melihat peningkatan positif dalam bilangan majikan yang mendapatkan panduan mengenai pelaksanaan program kesihatan mental di tempat kerja sejak 2023. - Foto ST

Lebih ramai majikan kini sedar tentang kepentingan kesihatan mental pekerja dan mengambil langkah proaktif untuk menyokong mereka dalam hal ini, menurut beberapa pengamat dan pemain industri.

Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) telah melihat peningkatan positif dalam bilangan majikan yang mendapatkan panduan mengenai pelaksanaan program kesihatan mental di tempat kerja sejak 2023.

Peningkatan ini mencerminkan minat yang kuat untuk menyokong kesejahteraan mental pekerja, namun penerimaan terhadap inisiatif kesihatan mental berbeza-beza dalam kalangan majikan disebabkan oleh salah tanggapan tertentu, terutamanya dalam syarikat kecil dan sederhana (SME).

Dalam pada itu, Snef berkongsi sejak Mac 2023, sebagai salah satu pengurus program Kesejahteraan Jangkauan di Tempat Kerja (Workplace Outreach Wellness atau WOW), ia telah berjaya membantu hampir 100 majikan dalam menyediakan inisiatif menggalakkan kesihatan mental melalui program WOW, yang memanfaatkan kira-kira 10,000 pekerja.

WOW, yang menyediakan sesi agregat merentas pelbagai topik, melengkapkan majikan dengan sumber praktikal untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong dan menggalakkan keterangkuman.

Pengarah kanan pusat pembangunan tempat kerja Snef, Encik Jerry Seah, berkongsi dengan Berita Minggu (BM) bahawa sikap penerimaan terhadap inisiatif kesihatan mental berbeza di antara majikan.

“Walaupun terdapat banyak syarikat yang terbuka menyokong program ini, ada beberapa pada mulanya menentang kerana salah tanggapan tentang kos dan kebimbangan terhadap produktiviti.

“Rintangan ini sering timbul daripada cabaran dalam memahami cara kesihatan mental memberi kesan kepada prestasi keseluruhan tempat kerja,” kata Encik Seah.

Dalam pada itu, untuk membantu SME mengatasi isu salah tanggapan, Snef telah menawarkan inisiatif seperti bengkel membina daya tahan.

Naib Pengerusi Kumpulan Kesihatan Mental Parti Tindakan Rakyat (PAP), Dr Wan Rizal Wan Zakariah, juga memerhatikan peralihan daripada tanggapan bahawa kesihatan mental adalah isu peribadi kepada memahaminya sebagai tanggungjawab bersama antara majikan dengan pekerja.

“Syarikat secara beransur-ansur menerapkan strategi kesihatan mental ke dalam rangka kerja kesihatan mereka yang lebih luas, mengakui bahawa minda yang sihat adalah penting untuk produktiviti yang mampan dan budaya tempat kerja yang positif,” tambah Dr Wan Rizal.

Beliau telah menyuarakan sokongannya terhadap isu berkaitan dengan kesihatan mental di Parlimen sejak 2021, termasuk usul bertajuk ‘Memajukan Kesihatan Mental’, yang bertujuan mendapatkan sokongan Parlimen untuk mengiktiraf kepentingan kesihatan mental sebagai isu kesihatan, sosial dan ekonomi, sambil menyeru pemerintah supaya melaksanakan strategi nasional bagi meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan penduduk Singapura, pada Februari lalu.

Beberapa langkah proaktif telah diperkenalkan di tempat kerja, kongsi Dr Wan Rizal, antaranya ialah Bayaran Bantuan Pekerjaan (EAP), hari kesihatan mental, bengkel dan program kesejahteraan, rangkaian sokongan rakan sebaya dan penyelesaian kesihatan mental digital.

Pemerhatian industri yang dikumpul melalui penglibatan beliau dalam Rangkaian Juara Kesejahteraan atau Wellbeing Champions Network menunjukkan bahawa lebih ramai pekerja terbuka untuk mendapatkan sokongan, terutama selepas wabak Covid-19.

“Peningkatan dialog mengenai kesihatan mental berkemungkinan menyumbang kepada keterbukaan yang lebih untuk mendapatkan bantuan, walaupun data yang lebih berstruktur masih diperlukan untuk memahami trend sepenuhnya,” ujar Dr Wan Rizal.

Latihan kekal sebagai komponen utama strategi kesihatan mental yang berkesan di tempat kerja untuk majikan menangani isu kesihatan mental, tambah Dr Wan Rizal.

Menurutnya, lebih banyak syarikat kini melabur dalam program menyeluruh yang mengajar pekerja cara mengenali tanda-tanda kesusahan dan bertindak balas dengan cara yang menyokong dan tidak mengganggu.

Kursus seperti Pertolongan Cemas Kesihatan Mental atau Mental Health First Aid yang melengkapkan peserta dengan kemahiran untuk memberikan sokongan segera, sama seperti pertolongan cemas tradisional, telah mendapat perhatian.

Dr Wan Rizal berkata: “Kesediaan seperti ini boleh membuat perbezaan yang ketara, memastikan bantuan tersedia di saat ia paling diperlukan.”

Latihan bagi majikan turut disediakan Snef, yang juga menggalakkan penyertaan dalam kuiz kesihatan mental untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman dalam kalangan pekerja, terutama semasa bulan kesihatan mental sedunia pada Oktober.

Justeru, membina budaya keterbukaan dan empati, latihan berterusan untuk pemimpin dan pengurus, mempromosikan keseimbangan kerja dan kehidupan serta kerjasama dengan organisasi kesihatan mental adalah usaha jangka panjang yang boleh diterapkan oleh majikan untuk memperbaiki isu kesihatan mental dalam kalangan pekerja, kata Dr Wan Rizal lagi.

“Syarikat secara beransur-ansur menerapkan strategi kesihatan mental ke dalam rangka kerja kesihatan mereka yang lebih luas, mengakui bahawa minda yang sihat adalah penting untuk produktiviti yang mampan dan budaya tempat kerja yang positif. ... Peningkatan dialog mengenai kesihatan mental berkemungkinan menyumbang kepada keterbukaan yang lebih untuk mendapatkan bantuan, walaupun data yang lebih berstruktur masih diperlukan untuk memahami trend sepenuhnya.” 
Dr Wan Rizal Wan Zakariah, Naib Pengerusi Kumpulan Kesihatan Mental Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg