Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Forum Pendidikan ST 2025 bakal bincang peranan S’pura, kebangkitan Asia Tenggara

Feb 4, 2025 | 4:28 PM
Dengan lebih 650 juta penduduk, 10 negara yang membentuk Asean kini mempunyai gabungan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sebanyak AS$3.6 trilion ($4.9 trilion).
Dengan lebih 650 juta penduduk, 10 negara yang membentuk Asean kini mempunyai gabungan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sebanyak AS$3.6 trilion ($4.9 trilion). - Foto REUTERS

Apa makna kebangkitan pesat Asia Tenggara kepada generasi pemimpin, usahawan, dan karyawan akan datang?

Dengan penduduk lebih 650 juta orang, 10 negara yang membentuk Asean itu kini mempunyai gabungan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sebanyak AS$3.6 trilion ($4.9 trilion).

Angka ini dijangka mencecah AS$4.5 trilion menjelang 2030, menjadikan rantau ini sebagai ekonomi keempat terbesar di dunia.

Menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) Singapura, Singapura menduduki tempat pertama dalam daya saing ekonomi dan kestabilan politik, serta menjadi penerima pelaburan asing ketiga terbesar. 

Sebagai pemangkin utama di rantau ini, Singapura memainkan peranan penting dalam pertukaran pengetahuan dan teknologi, lapor The Straits Times (ST).

Forum Pendidikan Straits Times 2025, yang diadakan bersama Universiti Pengurusan Singapura (SMU), akan membincangkan bagaimana negara ini boleh memanfaatkan pertumbuhan Asia Tenggara sambil mempersiap tenaga kerjanya bagi masa depan.

Forum itu juga akan melihat sumbangan Singapura dalam bidang seperti pendidikan, pengurusan sisa, air, dan pembangunan bandar.

Forum bertajuk Southeast Asia And Our Shared Future akan diadakan pada 11 Mac di SMU mulai 2.15 petang hingga 5.30 petang. Forum ini akan membincangkan peluang di Asia Tenggara bersama sekumpulan pakar.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, akan menyampaikan ucapan pembukaan, diikuti perbincangan panel yang dikendalikan Profesor Alan Chan dari SMU.

Panel merangkumi Encik Piyush Gupta, ketua pegawai eksekutif (CEO) DBS dan pengerusi SMU; Encik Aldi Haryopratomo, pelabur dan usahawan Indonesia; serta Encik Aaron Tan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Carro.

Mereka akan membincangkan bagaimana Singapura boleh kekal bersaing, kemahiran yang diperlukan oleh graduan, serta peluang dalam pendidikan, kemampanan, dan pembangunan bandar.

Selain Asia Tenggara, forum pendidikan ST sebelum ini membincangkan topik seperti universiti, ekonomi hijau, dan kecerdasan buatan (AI), kata Editor ST, Encik Jaime Ho. Forum itu diadakan setiap tahun sejak 2014, kecuali pada 2020 ekoran Covid-19.

 “Tumpuan tahun ini (2025) pada Asia Tenggara adalah penting dan selaras dengan usaha ST sempena ulang tahun ke-180 untuk terus komited kepada masyarakat,” tambah Encik Ho.

Pendaftaran forum adalah percuma dan dibuka sekarang serta ditutup pada 8 Mac, 6 petang. Mereka yang berminat boleh daftar di https://event.sph.com.sg/event/steduforum25.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg