Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura lancar hab maklumat tangani isu haba Asia Tenggara

Jan 7, 2025 | 4:49 PM
Profesor Iklim Bandar di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang juga Pengerusi Bersama Panel Antara Pemerintah mengenai Perubahan Iklim (IPCC), Dr Winston Chow, berucap di forum Rangkaian Maklumat Kesihatan Haba Sejagat (GHHIN) Asia Tenggara di Parkroyal on Beach Road pada 7 Januari.
Profesor Iklim Bandar di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang juga Pengerusi Bersama Panel Antara Pemerintah mengenai Perubahan Iklim (IPCC), Dr Winston Chow, berucap di forum Rangkaian Maklumat Kesihatan Haba Sejagat (GHHIN) Asia Tenggara di Parkroyal on Beach Road pada 7 Januari. - Foto ST

Satu langkah penting dalam usaha sama Asia Tenggara untuk menangani cabaran haba dan kesihatan di rantau ini telah tercapai melalui pelancaran rasmi Hab Rangkaian Maklumat Kesihatan Haba Sejagat (GHHIN) Asia Tenggara pada 7 Januari.

Semasa pelancaran pertama forum GHHIN itu, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon, memuji Pusat Daya Tahan dan Prestasi Haba (HRPC) di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Sekolah Perubatan Yong Loo Lin NUS atas kepimpinan mereka dalam menubuhkan hab tersebut.

Ia akan memudahkan kerjasama, perkongsian pengetahuan dan pembinaan keupayaan dalam kalangan pihak berkepentingan.

“Hab tersebut akan memperkasakan rantau Asia Tenggara untuk membangun dan melaksanakan strategi kesihatan haba yang berkesan.

“Usaha-usaha ini mengukuhkan kerjasama serantau kita mengenai daya tahan haba, yang penting untuk masa depan kita bersama,” kongsi Dr Koh dalam acara yang diadakan di Parkroyal on Beach Road itu.

Dalam menghadapi suhu yang semakin meningkat, Singapura tambah beliau, telah menerapkan strategi ketahanan haba yang bersifat saintifik dan proaktif dengan tiga pendekatan utama – pendinginan bandar, inovasi, dan daya tahan masyarakat.

Mengenai pendinginan bandar, pendekatan itu menumpukan pada reka bentuk bandar yang peka iklim, mempertingkatkan kehijauan dalam persekitaran bandar, dan mengurangkan pelepasan karbon.

“Kami telah mula memasukkan pemodelan alam sekitar di peringkat awal dalam reka bentuk dan perancangan bandar dan estet baru, seperti kawasan Lentor.

“Ia untuk menilai konfigurasi yang paling optimum bagi meningkatkan aliran angin dan keselesaan suhu,” ujar Dr Koh.

Bagi aspek inovasi, beliau mengetengahkan projek ‘Cooling Singapore 2.0’ yang menggunakan model digital untuk meniru iklim bandar dan menguji keberkesanan pelbagai strategi pendinginan.

Beliau turut merujuk kepada penyelidikan bersama HRPC dan Sekolah Perubatan Yong Yoo Lin NUS mengenai kesan suhu malam yang lebih panas dan lembap terhadap mutu tidur.

Ia bertujuan membangunkan huraian pendinginan inovatif seperti sistem pintar yang boleh menyesuaikan kelajuan kipas dan suhu penghawa dingin.

“Ini akan memastikan bahawa peningkatan suhu tidak menjejas rehat orang ramai sementara kita kekal cekap tenaga,” ujar Dr Koh.

Pendekatan terakhir, iaitu daya tahan masyarakat, memberi tumpuan kepada meningkatkan kesedaran dan menyediakan panduan kepada orang ramai mengenai cara mengurangkan risiko akibat haba melampau.

Ini termasuk Nasihat mengenai Tekanan Haba, yang dilancarkan pada 2023, yang membolehkan orang ramai memantau tahap tekanan haba melalui aplikasi myENV dan mengambil langkah pencegahan.

Dalam menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, Dr Koh turut merujuk kepada Kajian Perubahan Iklim Ketiga Singapura (V3), yang merupakan resolusi tertinggi yang ditetapkan bagi unjuran perubahan iklim yang meliputi Asia Tenggara.

Ini sejajar dengan pusat GHHIN Asia Tenggara, yang berpusat di HRPC, menyokong GHHIN dengan menyesuaikan strategi kesihatan haba mengikut konteks unik Asia Tenggara.

“Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan antarabangsa dan serantau untuk berkongsi set data ini bagi kajian dan penggunaan selanjutnya.

“Kami berharap data iklim ini akan membolehkan rakan-rakan serantau kita untuk merumuskan dan menyesuaikan strategi penyesuaian iklim mereka sendiri,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg