Lebih 400 orang berkumpul di Pantai Siloso untuk menikmati aktiviti air sekali lagi setelah Sentosa membuka semula pantainya selepas insiden tumpahan minyak pada Jun.
Pantai Siloso adalah yang pertama dalam tiga pantai di Sentosa untuk dibuka semula selepas berlakunya insiden tumpahan minyak pada 14 Jun, yang memerlukan semua aktiviti air di Pulau Sentosa dan pantai pulau selatan dihentikan sementara.
Pantai itu dibuka satu setengah bulan lebih awal daripada tiga bulan yang dijangkakan.
Seawal 8.30 pagi pada 3 Ogos, orang ramai berkumpul untuk melakukan aktiviti air seperti berkanu dan menaiki dayung (paddle boarding) sempena majlis pembukaan semula Pantai Siloso.
Majlis tersebut dihadiri oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Sentosa Development Corporation (SDC), Cik Thien Kwee Eng.
Menurut SDC, kerja pembersihan itu telah melibatkan lebih daripada 300 pekerja terlatih yang telah bertugas untuk menjalankan proses tindak balas tumpahan minyak secara berfasa.
Ini termasuk pendekatan komprehensif untuk membendung dan menguruskan kesan kepada alam sekitar.
Menjelang pembukaan semula pantai di Sentosa, SDC dan Majlis Kebersihan Awam, telah menganjurkan sesi pembersihan untuk membantu dengan mengalihkan bebola tar dan serpihan marin dari Pantai Siloso.
Hampir 450 peserta sepanjang enam sesi telah mendaftar untuk menyumbang tenaga.
Antara mereka termasuk daripada program kesetiaan Sentosa – Pulau Sentosa, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Kelab Dayung Singapura, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan SDC.
Mengalu-alukan kerjasama itu, Cik Fu melahirkan rasa gembira atas kerja keras orang ramai dalam memulihkan keindahan semula pantai kita dan membolehkan aktiviti air disambungkan semula.
“Pembukaan semula Pantai Siloso mencerminkan kejayaan usaha pembersihan kami, diketuai oleh agensi pemerintah, disokong oleh pekerja, pakar, kontraktor dan sukarelawan.
“Kami amat berterima kasih kepada semua orang atas kesabaran dan kerja keras mereka, yang sangat penting dalam memulihkan keindahan semula jadi pantai kita, membenarkan aktiviti air disambung semula dan perniagaan di tepi pantai beroperasi sepenuhnya,” jelasnya.
Ketika wartawan berada di Sentosa pagi itu, tiada bau minyak dikenal pasti dan air kelihatan jernih dengan ramai keluarga menikmati air dan pasir yang bersih.
Dengan lebih ramai pengunjung yang dapat menikmati Pantai Siloso sekali lagi, perniagaan yang terkesan akibat tumpahan minyak kini sudah bersedia untuk menerima pelanggan mereka sekali lagi.
Akibat kejadian itu, Pengarah, Operasi & Pembangunan Aset Mount Faber Leisure Group Pte Ltd, Cik Serin Phay, berkata mereka terpaksa menutup tarikan mereka, Wings of Time untuk memudahkan kerja pembersihan dijalankan selama lima minggu.
“Sejak pembukaan semula pada 23 Julai, kami menyaksikan jumlah pengunjung kembali sebanyak 80 peratus dan kami menjangkakan bahawa jumlah pegunjung ini akan kembali kepada tahap biasa menjelang September nanti,” kata Cik Phay.
Menurut ketua pegawai eksekutif (CEO) Sentosa Development Corporation (SDC), Cik Thien Kwee Eng berkata kerja penyelesaian awal kerja pembersihan itu adalah disebabkan usaha bersepadu dan tindak balas menyeluruh terhadap kejadian tersebut.
“Saya rasa perkara utama ialah pendekatan keseluruhan pemerintah dan penyelarasan yang rapat,” kata Cik Thien.
“Dalam masa seperti ini adalah penting untuk mempunyai penyelarasan yang rapat dan tindakan pantas,” ujarnya.
Pantai Palawan dan Pantai Tanjong masih dalam fasa terakhir pembersihan.
Menurut Cik Thien, operasi pembersihan disasarkan untuk diselesaikan menjelang pertengahan Ogos dan akan dibuka semula untuk aktiviti air sebaik sahaja kualiti air kembali ke paras normal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg