Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taman East Coast dekat Pusat Pelayaran Nasional dibuka semula bagi sukan air

NEA: Kawasan G selesai dibersihkan; kegiatan sukan air boleh disambung semula
Jul 29, 2024 | 2:40 PM
Bahagian di pantai Taman East Coast yang dibuka semula setelah siap dibersihkan untuk kegiatan sukan air.
Bahagian di pantai Taman East Coast yang dibuka semula setelah siap dibersihkan untuk kegiatan sukan air. - Foto NPARKS

Bahagian pantai Taman East Coast berhampiran Pusat Pelayaran Nasional dibuka semula pada 29 Julai, lebih sebulan selepas ia ditutup untuk pembersihan berikutan tumpahan minyak pada 14 Jun 2024.

Bahagian yang dibuka semula itu, Kawasan G, selesai dibersihkan dan kegiatan sukan air seperti berkayak, boleh disambung semula, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu catatan Facebook pada 29 Julai.

“Walaupun selamat untuk kegiatan pantai, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berenang atau melakukan sukan air seperti ‘wakeboarding’ (sukan papan lungsur air) dan dayung berdiri, di perairan pantai,” menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa ia akan terus memantau kualiti air.

“Hanya apabila kualiti air kembali normal dan stabil, kegiatan air boleh disambung semula sepenuhnya.”

Dalam catatan Facebook berasingan pada 29 Julai, Lembaga Taman Negara (NParks) berkata kawasan menghadap pantai selebihnya di Taman East Coast kekal ditutup sehingga diberitahu kelak, lapor The Straits Times.

“Semua kawasan lain di Taman East Coast kekal dibuka, termasuk kedai makanan dan minuman,” katanya.

Pada 22 Julai, NEA mengumumkan bahawa pengunjung pantai boleh melawat Kawasan B dan E di Taman East Coast.

Kawasan itu telah dikepung untuk operasi pembersihan kerana tumpahan minyak.

NEA menambah bahawa limpahan minyak di kawasan darat dan laut Taman East Coast setakat ini berjaya dialihkan.

Pada 14 Jun, bot pengorek yang berdaftar di Belanda, Vox Maxima, melanggar kapal bunker berdaftar di Singapura, Marine Honor, yang berlabuh, mengakibatkan 400 tan tumpahan minyak.

Tangki kargo yang rosak di kapal Marine Honor – yang berada di sebelah kapal kontena yang berlabuh di Terminal Pasir Panjang -– melimpahkan minyak ke laut.

Disebabkan oleh arus air pasang, minyak merebak di sepanjang pantai, termasuk Sentosa, Hutan Simpanan Labrador, Kepulauan Selatan, Marina South Pier dan Taman East Coast.

Minyak itu juga melimpah ke perairan di luar pantai selatan Malaysia, di mana kira-kira 1 kilometer garis pantai di Pengerang di Johor terjejas.

Kesan minyak juga ditemui di pantai di Sungai Rengit, bandar pantai di Johor, dan Teluk Ramunia berhampiran.

Pada 1 Julai, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata pembersihan di kedua-dua lokasi itu hampir selesai.

Kerja-kerja pembersihan juga dimulakan di pulau berhampiran di Johor, Pulau Che Kamat, pada 1 Julai, selepas kesan enap cemar minyak ditemui.

“Walaupun selamat untuk kegiatan pantai, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berenang atau melakukan sukan air seperti ‘wakeboarding’ (sukan papan lungsur air) dan dayung berdiri, di perairan pantai.”
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu catatan Facebook.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg