Apple telah mengumumkan bahawa iPhone ‘Tap to Pay’ kini boleh digunakan di Singapura, membolehkan peniaga menggunakan iPhone sebagai terminal pembayaran tanpa sentuhan.
Dalam satu kenyataan pada 2 Disember, Apple berkata fungsi baru itu diperkenalkan melalui kerjasama dengan platform pembayaran, pembangun aplikasi dan rangkaian pembayaran, lapor The Straits Times (ST).
Menurut Apple, perniagaan kini boleh menerima pembayaran pantas daripada kad kredit dan debit tanpa sentuhan, Apple Pay dan dompet digital lain menggunakan hanya iPhone dan aplikasi iOS yang disokong oleh rakan kongsi.
“Dengan iPhone ‘Tap to Pay’, peniaga boleh menerima pembayaran tanpa sentuhan melalui aplikasi iOS yang menyokong fungsi ini pada iPhone Xs atau model lebih baru yang menjalankan versi iOS terkini,” tambah Apple.
Platform pembayaran Adyen, Fiuu, HitPay, Revolut, Stripe dan Zoho menjadi yang pertama menawarkan ‘Tap to Pay’.
Grab akan turut serta pada awal 2026, kata Apple.
Fungsi itu juga menyokong kad kredit dan debit tanpa sentuhan daripada American Express, JCB, Mastercard, UnionPay dan Visa.
Apple menambah bahawa data pembayaran pelanggan dilindungi oleh teknologi yang sama digunakan dalam Apple Pay dan transaksi yang dibuat melalui ‘Tap to Pay’ disulitkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg