Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gaji bukan satu-satunya kriteria untuk dapat bantuan ComCare

Aug 2, 2023 | 4:23 PM
KRITERIA KELAYAKAN LEBIH MENYELURUH: Kriteria kelayakan bagi bantuan jangka pendek hingga sederhana (SMTA) ComCare bukan had tangga gaji sahaja.
KRITERIA KELAYAKAN LEBIH MENYELURUH: Kriteria kelayakan bagi bantuan jangka pendek hingga sederhana (SMTA) ComCare bukan had tangga gaji sahaja. - Foto fail

Kelayakan bagi menerima bantuan jangka pendek hingga sederhana (SMTA) ComCare ditentukan melalui penilaian menyeluruh dan bukan berdasarkan tangga gaji sahaja.

Faktor yang dinilai merangkumi tanda aras pendapatan isi rumah per kapita (PCHI), jumlah simpanan dan sokongan daripada keluarga.

Justeru, isi rumah yang mempunyai PCHI melebihi tanda aras yang ditetapkan mungkin layak menerima bantuan SMTA jika perbelanjaan harian mereka melebihi pendapatan, ujar Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Beliau berkata demikian di Parlimen pada Rabu semasa menjawab soalan beberapa Anggota Parlimen (AP) mengenai apakah terdapat keperluan membantu isi rumah yang tidak menerima bantuan sebelum tanda aras PCHI dinaikkan kepada $800 pada Julai.

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah mengumumkan bahawa tanda aras PCHI bagi bantuan ComCare dinaikkan daripada $650 dan ke bawah kepada $800 dan ke bawah mulai 17 Julai.

Beberapa AP, termasuk Encik Ang Wei Neng (GRC West Coast), Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang), dan Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol), bertanya apakah isi rumah yang sebelum ini mempunyai PCHI antara $650 dengan $800 sekarang akan dibantu.

“Isi rumah yang mempunyai PCHI melebihi tanda aras yang ditetapkan masih layak menerima SMTA jika perbelanjaan keperluan harian mereka melebihi pendapatan mereka.

“Justeru itu kami menekankan bahawa tanda aras pendapatan untuk SMTA ComCare bukan kriteria yang akan menghalang isi rumah melayakkan diri untuk mendapat bantuan.

“Isi rumah sedemikian tidak akan dihalang daripada menerima bantuan ComCare jika mereka meminta bantuan dari SSO (Pejabat Khidmat Sosial),” kata Encik Masagos.

Beliau menambah bahawa sebab utama permohonan ComCare tidak diterima sepanjang tiga tahun lalu ialah pendapatan atau sokongan kewangan pemohon melebihi keperluan harian mereka.

Jumlah permohonan bagi bantuan SMTA antara Januari dengan Jun 2023 berkurangan daripada jumlah dalam tempoh yang sama pada 2022, ujar Encik Masagos.

Sebanyak 75,000 permohonan diterima pada 2022, berbanding 82,000 pada 2021 dan 80,000 pada 2020.

Mengenai soalan apakah tanda aras PCHI skim pemerintah yang lain akan dinaikkan selaras dengan SMTA ComCare, Encik Masagos berkata skim bantuan sosial berbeza diperlukan bagi memenuhi keperluan berbeza.

“Agensi menggunakan data dan maklumat daripada sumber berbeza apabila melakar bantuan sosial, termasuk tanda aras pendapatan skim pemerintah yang lain, untuk menyesuaikan kriteria kelayakan setiap skim bagi memenuhi keperluannya,” tambah Encik Masagos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg