Tidak lama lagi, orang awam akan lebih mudah melaporkan pekerja asing yang melakukan kerja penghantaran secara haram.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan menambah ‘tab’ khusus untuk melaporkan kes seperti itu di laman web mereka, kata Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, dalam satu hantaran di Facebook pada 20 Ogos.
Menurut laporan The Straits Times (ST), tiga pekerja asing telah ditangkap kerana bekerja secara haram selepas MOM menjalankan operasi penguatkuasaan.
Sebelum ‘tab’ tersebut berfungsi sepenuhnya, orang awam boleh melaporkan kes yang disyaki di laman aduan MOM.
Dr Koh turut mengucapkan terima kasih kepada penghantar makanan tempatan atas sokongan mereka terhadap operasi tersebut, yang menyasarkan kawasan yang dikenal pasti Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA) menjadi tumpuan penghantar barangan haram.
Lebih 370 penghantar barangan telah membantu pegawai MOM menjalankan operasi itu, walaupun mereka sedang bertugas, kata beliau.
“Bagi penghantar makanan, setiap minit amat berharga. Kesediaan mereka untuk berhenti dan membantu adalah satu pengorbanan besar, dan kami sangat berterima kasih atas kerjasama dan rasa tanggungjawab mereka.
“Kerja penghantaran secara haram merugikan pekerja platform tempatan kita dan penguatkuasaan memastikan persaingan yang adil untuk semua,” jelasnya.
Sementara itu, Dr Koh berkata Kumpulan Tiga Pihak Pekerja Platform akan terus memantau isu dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh pekerja tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg