Bakal Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah melantik Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, sebagai Timbalan Perdana Menteri (DPM).
Encik Gan, 65 tahun, akan menyandang jawatan DPM bermula 15 Mei, bersama dengan Encik Heng Swee Keat, 63 tahun, yang mengekalkan jawatannya.
Jawatan dua timbalan perdana menteri itu diumumkan Encik Wong, 51 tahun, dalam satu sidang media di Istana pada 13 Mei. Selain jawatan DPM, beliau juga mengumumkan senarai anggota Kabinet beliau yang secara umumnya tidak berubah.
Encik Wong, yang akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura pada 15 Mei, akan kekal memegang jawatan Menteri Kewangan.
Beliau juga telah mengumumkan beberapa pelantikan baru dan kenaikan pangkat.
Antaranya, Setiausaha Parlimen Kanan, Cik Rahayu Mahzam, yang dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara di Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dan Kementerian Kesihatan (MOH). Beliau melepaskan jawatannya di Kementerian Undang-Undang (MinLaw).
Dalam menjelaskan pemikiran beliau di sebalik perubahan Kabinet dan lain-lain pelantikan penjawat politik, Encik Wong yang disertai oleh Encik Gan dan Encik Heng dalam sidang media di Istana itu berkata, beliau memberi tumpuan terhadap mengimbangi kesinambungan, kestabilan dan pembaharuan.
Ini, menurutnya, penting memandangkan ramai menteri yang baru mula memimpin kementerian masing-masing dan pemerintah juga kini memasuki tempoh akhir penggalnya.
“Semua menteri mempunyai banyak kerja yang perlu dilaksanakan, dan ada yang baru sahaja memperkenalkan program baru di kementerian masing-masing.
“Justeru, untuk tidak mengganggu keadaan, saya mengambil keputusan untuk mengekalkan mereka dalam peranan masing-masing sehingga akhir tempoh pemerintah,” ujar beliau.
Sementara itu, semasa mengulas pelantikannya, Encik Gan berkata beliau menerimanya dengan rendah hati dan berterima kasih diberi peluang untuk menyokong Encik Wong.
Encik Gan, yang akan memegang jawatan pemangku perdana menteri semasa ketiadaan Encik Wong, juga dilantik pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan memimpin kumpulan strategi di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO).
“Ia adalah satu penghormatan bagi saya diberi peluang ini, dan saya akan melakukan yang terbaik untuk menyokong perdana menteri baru dan pasukannya,” ujar beliau.
Perubahan Kabinet dan lain-lain pelantikan yang diumumkan Encik Wong itu dilaksana setelah beliau menerima undangan Presiden Tharman Shanmugaratnam untuk membentuk pemerintah seterusnya.
Dalam surat yang dikirimkan kepada Encik Wong, Tuan Presiden berkata: “Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa anda, sebagai Perdana Menteri, akan memimpin Singapura dengan hormat dan memastikan kestabilan dan daya tahan negara yang berterusan.”
Dalam barisan baru Kabinet Encik Wong itu kelak, Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong, 72 tahun, akan menyandang jawatan Menteri Kanan selain kekal mempengerusikan Majlis Penyelidikan, Inovasi dan Perniagaan (RIEC).
Dalam pada itu, dua menteri negara – Cik Low Yen Ling, 49 tahun, dan Encik Desmond Tan, 54 tahun – juga dinaikkan pangkat ke menteri negara kanan, serta kekal memegang portfolio masing-masing, dengan Cik Low di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) manakala Encik Tan di PMO.
Encik Wong juga melantik dua Anggota Parlimen (AP) ke pemerintah dengan AP Bukit Batok, Encik Murali Pillai, 56 tahun, dilantik Menteri Negara di MinLaw dan Kementerian Pengangkutan (MOT).
Seorang lagi ialah AP GRC Jurong, Encik Shawn Huang, 41 tahun, yang dilantik Setiausaha Parlimen Kanan di Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Kewangan (MOF).
Semua pelantikan yang diumumkan Encik Wong berkuat kuasa pada 15 Mei, dengan semua pemegang jawatan akan mengangkat sumpah pada hari yang sama kecuali Encik Murali yang akan dilantik dan mengangkat sumpah pada 1 Julai serta setiausaha parlimen kanan yang akan dilantik pada 15 Mei dan mengangkat sumpah pada 24 Mei.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, PMO mengumumkan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) akan bertukar nama kepada Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI). Perubahan ini berkuat kuasa 8 Julai.
ROMBAKAN KABINET
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg