Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MCI diberi nama baru Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital

May 13, 2024 | 7:40 PM
Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) bakal diberi nama baru iaitu Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital.
Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) bakal diberi nama baru iaitu Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital. - Foto fail ST

Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) akan dikenali sebagai Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) mulai 8 Julai, umum Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada 13 Mei.

Ia berkata perubahan tersebut “mencerminkan peranan kementerian itu dalam memacu agenda digital negara kita”. Ia menambah bahawa kementerian itu akan terus menyelia dasar dan strategi maklumat, pembangunan media dan usaha perhubungan awam.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata perubahan itu bukan sekadar satu penamaan semula tetapi menandakan juga perubahan ketara dalam pemikiran.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan dalam satu sidang media di Istana pada 13 Mei bagi mengumumkan Kabinet barunya.

Perubahan itu bertujuan memberi isyarat kuat dan mendorong usaha pendigitalan Singapura, katanya.

“Teknologi digital akan menjadi pengupaya besar bagi kita untuk mengubah ekonomi kita dan juga untuk meningkatkan kehidupan kita, bagi semua orang dalam masyarakat,” ujar Encik Wong.

Awal sebelum ini, pemerintah telah menubuhkan Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO) dan Agensi Teknologi Pemerintah Singapura (GovTech) beberapa tahun lalu.

Encik Wong berkata banyak kemajuan telah dicapai dua agensi itu. Namun, beliau akur usaha pendigitalan bukan usaha agensi pemerintah semata-mata.

“Oleh itu, daripada melakukannya secara berasingan, kami fikir adalah lebih baik dari segi pentadbiran untuk menggabungkan usaha ini sebagai sebahagian daripada strategi digital nasional yang padu,” jelas Encik Wong.

Strategi pendigitalan nasional Singapura termasuk kecerdasan buatan (AI) dan banyak teknologi lain yang merentasi sektor dan agensi.

Mengulas tentang perubahan itu, Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo, berkata pendigitalan telah menjadi bahagian semakin penting dalam agenda Singapura dan peranan MCI dalam pembangunan digital telah berkembang dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan.

“Oleh itu, penamaan semula kepada MDDI adalah langkah bermakna dan tepat pada masanya untuk mencerminkan portfolio digital kementerian ini yang lebih luas dan mengiktiraf peluang dan cabaran baru dalam era digital.

“MDDI akan mengukuhkan ekonomi digital Singapura dan aspek kritikal masyarakat kita yang berupaya dari segi digital, seperti daya tahan, kesediaan dan keterangkuman digital,” katanya.

Cik Teo menambah bahawa MDDI juga akan menyelia keselamatan siber dan kawal selia infrastruktur digital, perlindungan data dan kandungan dalam talian selain memacu pembangunan dan aplikasi teknologi dan keupayaan digital, termasuk pendigitalan perkhidmatan pemerintah.

Ini bukan kali pertama MCI melalui perubahan nama. Pada 1990, nama MCI ditukar kepada Kementerian Penerangan dan Kesenian (Mita).

Pada 2001, Mita dinamakan semula sebagai Kementerian Penerangan, Perhubungan dan Kesenian (Mica) setelah ia mengambil alih fungsi teknologi maklumat dan komunikasi di bawah bekas Kementerian Perhubungan dan Teknologi Maklumat (MCIT), yang ditubuhkan dua tahun sebelumnya.

Pada 2012, ia dinamakan semula sebagai Kementerian Perhubungan dan Penerangan, berikutan penstrukturan semula Mica serta Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg