Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ganggu pelajar PhD, hantar 116 e-mel: Penyelidik NTU didenda $8,000

Aug 21, 2024 | 6:07 PM
Wanita yang sebelum ini bertugas sebagai penyelidik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Han Xiaobing, 34 tahun, terpaut pada seorang lelaki berusia 29 tahun yang mengikuti pengajian Doktor Falsafah (PhD) di universiti berkenaan tetapi perasaan Han tidak berbalas.
Wanita yang sebelum ini bertugas sebagai penyelidik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Han Xiaobing, 34 tahun, terpaut pada seorang lelaki berusia 29 tahun yang mengikuti pengajian Doktor Falsafah (PhD) di universiti berkenaan tetapi perasaan Han tidak berbalas. - Foto ST

Seorang bekas penyelidik di Universiti Teknologi Nayang (NTU) berkenalan dengan seorang lelaki yang sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di institut pengajian tinggi tersebut.

Wanita berkenaan, Han Xiaobing, 34 tahun, mula jatuh hati dengan lelaki berusia 29 tahun itu tetapi dia sekadar bertepuk sebelah tangan.

Pada 25 Oktober 2023, lelaki berkenaan mendapat Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) terhadap wanita warga China itu.

Ia melarang wanita itu daripada tindakan termasuk berhubungan dengannya selain memasuki tempat yang sering dikunjungi lelaki itu.

Meskipun demikian, Han mengirim 116 e-mel sehingga Disember 2023 dan turut pergi ke tempat jejaka tersebut bertugas, lapor The Straits Times.

Han didenda $8,000 selepas dia mengaku salah pada 21 Ogos atas dua tuduhan kerana mengganggu.

Butiran tentang lelaki itu tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.

Han akan dipenjara selama lapan minggu jika dia gagal melunaskan denda tersebut.

Dia tidak diwakili peguam dan memberitahu mahkamah dia kini menganggur.

Pada Februari 2021, lelaki itu memutuskan untuk menyekat kesemua komunikasi elektronik dengan Han selepas beliau berasa tidak selesa dengan pesanan panjang wanita itu yang meluahkan perasaannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Encik Ryan Lim, berkata: “Walau bagaimanapun, tertuduh masih terus cuba berhubungan dengannya dan mencarinya secara peribadi, sehingga akhirnya mangsa membuat permohonan bagi mendapatkan perlindungan peribadi terhadap tertuduh.”

Han bagaimanapun mengirimkan 116 e-mel antara Oktober dengan Disember 2023, menuntut untuk bercakap dengannya secara semuka.

Pada 7 Disember 2023, Han tiba di tempat kerja mangsa di Fusionopolis, pergi ke sebuah kaunter di lobi bangunan dan bertanya untuk menemuinya.

Apabila dia kembali lima hari kemudian, mangsa memberitahu polis dengan menyatakan Han enggan mematuhi PPO itu.

Lelaki tersebut berkata tindakan wanita itu benar-benar membuatnya tertekan.

Polis menyoal Han pada 18 Disember 2023 dan dia berjanji untuk mematuhi perintah tersebut.

Bagaimanapun pada 3 Januari, semasa lelaki itu sedang bekerja di sebuah makmal di NTU sebagai sebahagian daripada penyelidikannya, Han muncul dan ingin bercakap dengannya.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan bagaimana dia tahu lelaki itu akan berada di universiti tersebut pada hari berkenaan.

Kata DPP: “(Menerusi sebuah tingkap), dia melihat mangsa... yang menyatakan kehadirannya dan keluar dari pejabat untuk memberitahu Han yang beliau akan menghubungi polis. Tertuduh kemudian meninggalkan NTU tanpa menyatakan apa-apa kepada mangsa.”

Pada 21 Ogos, DPP memohon mahkamah mengenakan saman $7,500 ke atas Han, yang tindakannya “menjejas emosi mangsa”.

“Kekerapan tertuduh dalam mengawasi mangsa adalah tinggi. Dalam tempoh enam minggu, tertuduh memasuki tempat kerja mangsa pada dua masa berasingan dan mengirimkan 116 e-mel kepada mangsa.”

Han meminta hukuman ke atasnya diringankan dan berkata dia mempunyai $4,000.

Tanpa memberikan sebarang perincian, dia memberitahu mahkamah yang dia telah kehilangan wang dalam satu penipuan dan sedang mengalami masalah kewangan.

Mahkamah membenarkannya membayar secara ansuran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg