KUALA LUMPUR: Kes Orang Hilang (OH) yang dilaporkan berlaku di Malaysia masih berada pada tahap terkawal dan tidak membimbangkan.
Ini disebabkan sebahagian besar kes hilang yang dilaporkan adalah membabitkan golongan remaja yang dipengaruhi rakan mereka, menyebabkan mereka melarikan diri dari rumah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya bagaimanapun tidak pernah sesekali menutup atau menghentikan mana-mana kes OH yang masih belum ditemui.
“Seperti yang sering dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan saya sendiri sebelum ini, bahawa kes OH ini adalah terkawal dan tidak membimbangkan.
“Namun sekali lagi saya tegaskan bahawa stigma yang masyarakat perlu menunggu 24 jam untuk membuat laporan berkaitan kes OH saya rasa tidak wujud.
“Sekiranya ada mana-mana ahli keluarga, waris atau kenalan yang mengesyaki adanya perbuatan jenayah berhubung kes orang hilang, mereka ini diminta membuat laporan polis seberapa cepat yang mungkin,” katanya selepas menghadiri satu acara di Kuala Lumpur, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Mohd Shuhaily berkata beliau telah mengarahkan semua pegawai dan anggota JSJ untuk bertindak segera terutama terhadap mana-mana kes OH yang membabitkan kanak-kanak.
“Ini kerana dalam satu jam yang pertama kes OH itu adalah amat penting untuk kita bertindak, bukan hanya satu jam, dalam setengah jam pun macam-macam benda boleh berlaku dan itu penting untuk kita (JSJ) bertindak cepat,” katanya.
Kes membabitkan kanak-kanak enam tahun Albertine Leo Jia Hui, yang dilaporkan hilang dan berjaya diselamatkan di sebuah hotel di Batang Kali, Selangor, pada 23 Julai lalu, adalah antara bukti bahawa tindakan pantas dapat menyelamatkan kes OH.
Datuk Mohd Shuhaily turut merakamkan penghargaan kepada Polis Kontinjen Johor secara amnya dan Jabatan Siasatan Jenayah Johor secara khususnya yang berjaya menyelamatkan kanak-kanak berkenaan yang diculik penjenayah.
Albertine dilaporkan hilang sekitar 8.30 malam pada 21 Julai, dalam satu festival kebudayaan Jepun di Eco Galleria, Johor Bahru.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes culik, selain lima individu termasuk seorang lelaki dalang utama yang melarikan Albertine ditahan.
Mutakhir ini Malaysia juga digemparkan dengan siri kes OH yang berakhir dengan kematian, malah beberapa kes disahkan sebagai pembunuhan kejam.
Antaranya membabitkan kes guru wanita, Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi, 33 tahun, yang kepalanya dipenggal dan anggota badan dikerat; graduan universiti, Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25 tahun, yang ditemui dibunuh di ladang kelapa sawit, selain kanak-kanak Orang Asli berusia 10 tahun, Nuraina Humaira Rosli, yang mayatnya ditemui di tepi paya selepas dirogol dan dibunuh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg