Tiada laporan polis dibuat terhadap dua wanita daripada sebuah kumpulan aktivis yang mengganggu Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di Chong Pang, ujar Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K.Shanmugam.
Berkata demikian semasa lawatannya ke tapak sementara Masjid Darul Makmur pada 27 Mac, Encik Shanmugam menjelaskan rakyat Singapura seharusnya cuba untuk melangkah ke hadapan daripada kejadian itu.
Bahkan tumpuan harus diberikan kepada usaha membina masyarakat yang lebih kukuh bersama, termasuk mengadakan perbincangan mengenai pelbagai isu, antaranya yang sukar, tetapi dengan cara yang membina, tambahnya.
Sementara itu, kedua-dua wanita tersebut juga sedang disiasat atas kesalahan terdahulu, kata Encik Shanmugam, tanpa mendedahkan butiran lanjut.
“Terdapat video mengenai kejadian itu. Saya sebenarnya tidak mahu bercakap lebih lanjut mengenainya. Orang ramai boleh melihat video tersebut, dan pandangan saya adalah kita patut cuba untuk melangkah ke hadapan.
“Dan saya ingin katakan, mesej itu lebih kuat lagi pada bulan Ramadan ini, pada penghujungnya. Maka, mari kita fokus untuk membina masyarakat yang lebih kukuh dan lebih baik bersama,” ujar beliau.
Pada 12 Mac dua wanita tersebut dilihat bertindak secara kasar ketika bertemu Encik Shanmugam di Blok 107 Yishun Ring Road.
Encik Shanmugam kemudian memuat naik video kejadian itu di Facebooknya dan mengingatkan rakyat Singapura bahawa sesi MPS bukanlah tempat untuk mengadakan protes.
Apabila ditanya media sama ada kejadian tersebut telah direka oleh Encik Shanmugam sendiri memandangkan suara beliau dirakam dengan jelas dalam video yang dimuat naikkannya, beliau menjawab:
“Direka bermaksud kejadian itu dirancang, iaitu saya yang membuatkan kedua-dua wanita itu bertindak seperti yang mereka lakukan dan saya yang menyuruh semua orang bertindak dan menjerit ‘penakut’ serta perkara yang lain.
“Saya rasa kedua-dua wanita itu adalah orang yang terakhir untuk setuju – bahawa mereka terlibat dalam program oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP).”
Beliau turut menjelaskan bahawa suaranya jelas kerana beliau telah dipasang mikrofon untuk acara masyarakat sebelum sesi MPS.
Sukarelawan beliau telah merakam beliau semasa acara tersebut, serta menyambut penduduk di MPS apabila beliau bertemu dengan kedua-dua wanita itu, katanya.
Menurutnya, kedua-dua wanita itu masih muda, dan beliau berharap mereka dapat belajar daripada episod ini.
“Mereka berdua masih muda. Saya berada dalam generasi ibu bapa mereka, dan sebenarnya, saya berharap mereka akan diberi ruang untuk belajar daripada kejadian ini,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga merupakan AP GRC Nee Soon, berkongsi perkembangan peningkatan Masjid Darul Makmur.
Menurutnya, kerja peningkatan itu dijangka selesai lebih awal pada Hari Raya Haji 2025, berbanding tempoh yang dijangkakan pada akhir 2025.
“Kami gembira kerana kami dapat melihat pembangunan Masjid Darul Makmur hampir siap, hanya berbaki proses-proses terakhir.
“Kami mendekati pihak masjid dan diberitahu bahawa jika semua permit didapatkan, kami akan cuba membuka masjid supaya kami dapat menunaikan solat Hari Raya Haji pada tahun ini (2025),” ujarnya.
Kini, masjid Darul Makmur menggunakan tapak Sekolah Menengah Northview di Yishun Street 61 sebagai tapak solat sementara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg