Kurang adab berbicara.
Itulah reaksi tatkala menyaksikan satu video tular yang dimuat naik di Facebook Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang, Encik K. Shanmugam, yang menunjukkan satu kejadian semasa Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di Blok 107 Yishun Ring Road pada 12 Mac lalu.
Menurut kenyataan Parti Tindakan Rakyat (PAP), kedua-dua wanita itu adalah daripada kumpulan aktivis Monday of Palestine Solidarity.
Bukan di Yishun sahaja, malah kumpulan itu juga telah melawat lebih 10 MPS, antaranya MPS Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, di Bukit Batok East; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir-Ris Punggol, Encik Sharael Taha, di Pasir Ris East.
Anggota kumpulan tersebut dikatakan membuat kecoh di kawasan menunggu MPS, sekali gus menjejas penduduk yang menanti giliran bertemu AP. Mereka juga akan membuat rakaman video dan meninggikan suara.
Harus diingat bahawa MPS adalah sesi yang dikhususkan bagi penduduk sesuatu kawasan undi untuk mendapatkan bantuan atau nasihat daripada AP mereka berkaitan isu/masalah yang dihadapi. Ia merupakan sesi yang amat bermakna oleh penduduk, dan peluang bagi AP mendengar serta membantu penduduk mereka.
Justeru, bagi ‘orang luar’ mengganggu MPS adalah satu kelakuan tidak bertanggungjawab, tidak menghormati penduduk dan AP, selain boleh menimbulkan rasa kurang senang penduduk.
Bagi AP sendiri, gangguan atau provokasi seperti itu merugikan masa mereka daripada memberi masa secukupnya kepada penduduk yang mengharapkan bantuan yang diperlukan.
Memang difahami aktivis sesuatu gerakan akan berasa ghairah tentang idea dan perjuangan mereka serta mahu pemimpin negara mendengar pendapat mereka, namun MPS bukan tempatnya.
Mengenai soal adab, seorang alim pernah menjawab soalan mengenai mana satu yang lebih utama, adab atau ilmu. Beliau menjawab adab.
Sebabnya, orang yang berilmu tetapi tanpa adab boleh menjadi orang yang angkuh tentang ilmunya, dan tidak bersifat rendah hati untuk menggauli anggota masyarakat biasa.
Mereka juga boleh bercakap secara kurang adab kepada orang lain yang dianggap sebagai kurang berilmu, atau kepada pihak yang tidak bersetuju dengan mereka.
Manakala orang yang tinggi adab namun rendah ilmu, boleh sahaja sentiasa mempelajari dan mendalami ilmunya.
Agama Islam mengajar umatnya tentang pelbagai adab kehidupan termasuk adab di khalayak ramai dan adab semasa berbicara dengan orang lebih muda, orang lebih tua mahupun pemimpin.
Malah melalui adab bicara, ia boleh menonjolkan perwatakan dan akhlak seseorang.
Justeru, apa yang dilihat melalui video tular melibatkan dua wanita yang secara kasar berdepan dengan Encik Shanmugam pada 12 Mac lalu ada kaitan dengan adab semasa berbicara.
Bukan saya sahaja berpendapat sedemikian, malah ramai pemimpin dan kenalan berpandangan begitu.
Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, dalam ulasannya kepada Berita Harian berkata perbuatan dan pertuturan hendaklah mencerminkan akhlak seorang mukmin sejati dan menggesa agar masyarakat berhati-hati dengan tingkah laku.
“Kadangkala di tengah-tengah kekecewaan kita, emosi kita mungkin mengatasi kita, dan akhirnya, apa yang kita harapkan untuk menjadi satu langkah ke hadapan, menjadi tidak produktif, bukan hanya untuk diri kita sendiri, malah untuk orang lain juga,” tambahnya.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, berkata ada pelbagai cara bagi orang ramai menyuarakan hujah mereka. Berkaitan video tular berkenaan, beliau menerima maklum balas ramai penduduk yang mengecam kejadian di MPS Encik Shanmugam itu.
“Malah, ramai dalam masyarakat Melayu/Islam turut mengkritik perkara tersebut kerana ia bukan cara yang betul,” tambahnya.
Cik Rahayu, yang juga AP GRC Jurong, pula berkongsi bahawa wakil kumpulan Monday of Palestine Solidarity yang datang ke MPSnya bukan dua wanita tersebut tetapi catatan media sosial yang dimuat naik oleh kumpulan itu tidak memberikan gambaran betul.
“Saya harap mereka belajar cara lebih baik untuk memperjuangkan perjuangan mereka. Saya kasihan terhadap mereka. Tapi, saya juga harap perkara ini tidak akan meretakkan ikatan masyarakat kita,” ujarnya.
Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman, pula berkata semangat aktivisme adalah berharga dan harus dipupuk dalam kalangan belia, namun ia mesti digabungkan dengan tujuan, sebab, pola pemikiran dan sikap yang betul.
Ini memandangkan Islam mengajar umatnya supaya bersikap adil, menghormati orang lain dan beradab apabila menyampaikan kata-kata, di samping memberikan pandangan pada waktu atau tempat yang sesuai.
Kejadian di MPS Yishun itu memberikan beberapa pengajaran. Antaranya, walaupun kita berasa begitu terdorong oleh sesuatu kegiatan aktivisme atau pemikiran, pengawalan emosi adalah perlu apabila berbicara. Perlu ada sikap rasa hormat terhadap orang yang kita berbicara, tanpa bersikap keras dan kasar.
Apa jua kepercayaan aktivisme seseorang, ia tidak harus mengganggu MPS yang khusus bagi membantu penduduk di sesebuah kawasan undi itu, yang melihat sesi itu sebagai perkara penting buat mereka, khususnya dalam membantu isu yang dihadapi mereka.
Semangat aktivisme dalam menegakkan isu-isu yang dirasa penting adalah digalakkan. Namun, ia harus dilakukan secara berhemah dan saling menghormati. Ia bukan dilakukan dengan melanggar batas-batas yang menjejas pihak lain seperti mengganggu penduduk dan AP dalam sesi MPS.
Penting juga untuk memastikan tindakan mengganggu MPS ini dibanteras. Ia tidak boleh dibiarkan menjadi perkara biasa. Ini demi memastikan kemakmuran Singapura, yang secara susah payah dibangunkan sejak merdeka 60 tahun lalu, tidak terjejas oleh sikap kurang adab ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg