Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gangguan IT: Kebanyakan khidmat penting, pemerintah tidak terjejas, kata Josephine

Jul 20, 2024 | 3:03 PM
Meskipun kebanyakan khidmat daftar masuk bagi syarikat penerbangan sudah kembali beroperasi seperti biasa, masih ada sejumlah kecil syarikat penerbangan yang masih terjejas. Gambar menunjukkan orang ramai beratur di kaunter AirAsia yang masih menggunakan proses pendaftaran manual pada 20 Julai.
Meskipun kebanyakan khidmat daftar masuk bagi syarikat penerbangan sudah kembali beroperasi seperti biasa, masih ada sejumlah kecil syarikat penerbangan yang masih terjejas. Gambar menunjukkan orang ramai beratur di kaunter AirAsia yang masih menggunakan proses pendaftaran manual pada 20 Julai. - Foto ZAOBAO

Kebanyakan khidmat penting dan pemerintah tidak terjejas dek gangguan teknologi maklumat (IT) sejagat pada 19 Julai, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, pada 20 Julai.

Beberapa khidmat yang terjejas seperti perkhidmatan pos, pulih dengan cepat sedang rancangan kesinambungan perniagaan (BCP) diaktifkan, kata Cik Teo.

Meskipun kesan gangguan sistem IT di Singapura membimbangkan, Cik Teo berkata keadaan yang lebih teruk boleh berlaku.

“Apabila kita melihat keadaan di seluruh dunia, jelas kesan yang dialami Singapura, meskipun membimbangkan, tidak seteruk yang mungkin berlaku.

“Khidmat penting dan pemerintah kebanyakannya tidak terjejas,” kata Cik Teo dalam satu hantaran di media sosial.

Namun, Cik Teo berkata “tidak bijak” jika Singapura berasa ia lebih berdaya tahan berbanding negara lain.

Insiden seperti ini akan berlaku dan Singapura perlu mempunyai keupayaan untuk kembali berkhidmat seperti biasa dengan pantas, tambah Cik Teo.

Beliau menambah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) akan mengadakan perbincangan dengan Microsoft dan syarikat lain untuk mempelajari sebanyak mungkin daripada insiden yang berlaku serta langkah susulan yang diambil.

Sementara itu, sebahagian besar syarikat yang terjejas kembali menawarkan khidmat seperti biasa sejak 6 pagi pada 20 Julai.

Ini termasuk proses daftar masuk penumpang bagi syarikat penerbangan, khidmat akhbar, radio dan penghantaran, menurut MDDI dalam satu kenyataan pada 20 Julai.

Meskipun khidmat daftar masuk penumpang bagi kebanyakan syarikat penerbangan kini kembali seperti biasa, “sejumlah kecil” syarikat penerbangan masih perlu melaksanakan proses daftar masuk secara manual, menurut Changi Airport Group (CAG) – pengendali Lapangan Terbang Changi – dalam satu hantaran di Facebook pagi 20 Julai.

CAG menambah ia kini membantu syarikat penerbangan yang masih terjejas dengan memberikan sumber tambahan.

Menurut laporan akhbar The Straits Times, ramai penumpang kelihatan beratur di kaunter syarikat penerbangan AirAsia di Lapangan Terbang Changi pada pagi 20 Julai, memandangkan proses daftar masuk penumpang masih perlu dilakukan secara manual.

Orang ramai yang masih beratur di Terminal 4, Lapangan Terbang Changi, sekitar 9.45 pagi pada 20 Julai.
Orang ramai yang masih beratur di Terminal 4, Lapangan Terbang Changi, sekitar 9.45 pagi pada 20 Julai. - Foto ST

Syarikat penerbangan merupakan antara yang terjejas teruk dek gangguan tersebut, yang dipercayai berpunca daripada pengemaskinian sofwe yang dikeluarkan penyedia khidmat keselamatan siber CrowdStrike.

Firma Amerika Syarikat tersebut menyediakan khidmat kepada puluhan ribu perusahaan sejagat, termasuk bank, pejabat dan hospital.

Lebih 10 syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Changi terjejas pada 19 Julai, mengakibatkan lebih 40 penerbangan tergendala.

Proses daftar masuk penumpang perlu dilakukan secara manual, dengan kakitangan lapangan terbang terpaksa menulis butiran penerbangan menggunakan papan putih, pen dan kertas dalam usaha memenuhi keperluan penumpang yang beratur panjang.

Kakitangan lapangan terbang menggunakan papan putih untuk menjalankan proses daftar masuk penumpang secara manual di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi pada 19 Julai.
Kakitangan lapangan terbang menggunakan papan putih untuk menjalankan proses daftar masuk penumpang secara manual di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi pada 19 Julai. - Foto REUTERS
Seorang penumpang menunjukkan borang yang perlu dipenuhi dalam proses daftar masuk penumpang secara manual dek gangguan IT pada 19 Julai.
Seorang penumpang menunjukkan borang yang perlu dipenuhi dalam proses daftar masuk penumpang secara manual dek gangguan IT pada 19 Julai. - Foto ZAOBAO

Syarikat penerbangan bajet termasuk AirAsia, Scoot, Jetstar dan Cebu Pacific Air merupakan antara yang terjejas.

SIA berkata talian tempahan penerbangannya dan pusat khidmat penumpang di ION terjejas akibat kegenjotan IT. Namun penerbangan SIA tidak terjejas.

Semua khidmat yang terjejas kembali berfungsi kini berfungsi seperti biasa, kata SIA dalam hantaran susulan pada 6.57 petang 19 Julai, selang tiga jam selepas hantaran awal.

Hal serupa turut dikongsi AirAsia di X, dengan ada pelanggannya terpaksa menunggu lebih lama untuk mendaftar masuk di lapangan terbang.

Kegenjotan IT itu turut menjejas tempat letak kereta di estet perumahan Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB)

Menulis di Facebook pada 19 Julai, HDB berkata sekitar 185, atau 10 peratus tempat letak kereta di estet HDB terjejas dan gantri atau palang pengadang keluar masuk tempat letak kereta dibuka untuk membolehkan pengguna keluar masuk tanpa hambatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg