Gangguan operasi IT sedunia pada 19 Julai turut menjejas operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sekurang-kurangnya satu lapangan terbang lain di Malaysia.
Ini dilaporkan beberapa media di sana, dengan gambar penumpang beratur panjang di lapangan terbang rancak dikongsi pengguna di media sosial.
Selain di KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang juga terjejas.
Warga Singapura, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Suraya, bersama suaminya, Encik Abdul Rahman yang sedang berada dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Singapura ketika dihubungi Berita Harian (BH) berkata mereka mendapati orang ramai sedang beratur panjang di lapangan terbang di sana.
Mereka dijadual menaiki pesawat Air Asia, AK1729, pada 8.30 malam pada 19 Julai.
Cik Suraya berkata apabila mereka tiba sekitar tiga petang, barisan panjang sudah mula dilihat di lapangan terbang tersebut.
Namun, keadaan itu terhurai apabila kakitangan Air Asia mula memberikan pas masuk pesawat secara bertulis.
“Bila kami sampai di lapangan terbang, kami lihat ramai orang sedang beratur.”
“Kami mengambil keputusan untuk menunaikan solat asar dahulu, dan apabila kami mula melakukan check-in, proses hanya mengambil masa lima minit,” katanya yang selesai membuat proses daftar masuk pada 4.45 petang.
Sekitar 9 pagi hari itu, mereka menerima kiriman teks dari Air Asia yang menyatakan bahawa penerbangan mereka yang dijadualkan berangkat pada pukul 7.25 petang akan ditukar kepada 8.30 malam.
Namun, punca penukaran itu tidak diketahui.
Agensi berita Bernama pada 19 Julai melaporkan Malaysia Airports Holdings, yang menguruskan kebanyakan lapangan terbang di Malaysia termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berkata ia tidak terjejas oleh gangguan teknologi.
Syarikat penerbangan Malaysia Airlines juga dilaporkan tidak terjejas.
Namun terdapat hantaran di media sosial yang menunjukkan barisan panjang di KLIA.
Seorang pengguna X bernama ruffleseed, memuat naikkan sebuah gambar sekitar 3.55 petang menunjukkan situasi di KLIA yang sedang sesak.
Seorang lagi pengguna bernama syahrulazlan91 mengatakan bahawa sistem daftar masuk dalam talian dan kiosk bagi syarikat penerbangan Air Asia mengalami gangguan teknikal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg