Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) berkata gangguan teknologi maklumat (IT) yang berlaku di peringkat sejagat dan turut menjejas Singapura pada 19 Julai merupakan isu teknikal dan bukan isu keselamatan siber.
Isu teknikal itu melibatkan sofwe daripada Microsoft dan Crowdstrike, kata MDDI.
Dalam kenyataannya pada 19 Julai, MDDI berkata khidmat pemerintah, hospital, bank dan telekomunikasi di Singapura tidak terjejas dan ia sedang memantau kesan dan membantu syarikat yang terjejas.
“Meskipun perkhidmatan pemerintah tidak terjejas, kami sedia maklum ia telah menjejas beberapa syarikat di Singapura yang menawarkan perkhidmatan kepada orang awam,” kata MDDI yang berkata perkhidmatan yang terjejas di sini termasuk khidmat daftar masuk penerbangan, penerbitan akhbar dan tempat letak kereta.
Dalam satu hantaran di Facebook, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo berkata Pasukan Respons Kecemasan Komputer Singapura (SingCERT) telah mengeluarkan nasihat dengan segera untuk membantu pentadbir dan pengguna sistem yang terjejas.
“Kementerian kami sedang memantau dengan teliti keadaan ini dan akan menyediakan bantuan apabila ia diperlukan,” kata beliau.
Barisan panjang dilihat di aras pelepasan Lapangan Terbang Changi pada petang 19 Julai apabila proses daftar masuk penumpang melibatkan syarikat penerbangan tertentu terganggu.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) – pengendali Lapangan Terbang Changi – menyatakan disebabkan gangguan itu, proses daftar masuk bagi lebih 10 syarikat penerbangan terpaksa dilakukan secara manual, termasuk pengeluaran pas masuk penerbangan.
“Kakitangan di lapangan sedang memberi bantuan kepada penumpang, terutamanya bagi mereka dengan waktu keberangkatan yang hampir tiba. Kami sedang memantau situasi,” kata CAG.
Dalam kenyataan berasingan, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata ia sedang memantau keadaan dengan teliti dan bekerjasama dengan CAG, agensi Home Team dan perkhidmatan darat untuk membantu penumpang.
Antara syarikat penerbangan yang terjejas termasuk Singapore Airlines (SIA), Scoot dan AirAsia.
SIA berkata talian tempahan penerbangannya dan pusat khidmat penumpang di ION terjejas akibat kegenjotan IT. Namun penerbangan SIA tidak terjejas.
Semua khidmat yang terjejas kembali berfungsi kini berfungsi seperti biasa, kata SIA dalam hantaran susulan pada 6.57 petang 19 Julai, selang tiga jam selepas hantaran awal.
Hal serupa turut dikongsi AirAsia di X, dengan ada pelanggannya terpaksa menunggu lebih lama untuk mendaftar masuk di lapangan terbang.
Kegenjotan IT itu turut menjejas tempat letak kereta di estet perumahan Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB)
Menulis di Facebook, HDB berkata sekitar 185, atau 10 peratus tempat letak kereta di estet HDB terjejas dan gantri atau palang pengadang keluar masuk tempat letak kereta dibuka untuk membolehkan pengguna keluar masuk tanpa hambatan.
“Di samping itu, kakitangan pengendali tempat letak kereta terjejas telah dikerahkan untuk memberi bantuan kepada pemandu,” kata HDB.
Dalam satu hantaran di X, Ketua Pegawai Eksekutif CrowdStrike, Encik George Kurtz, berkata gangguan IT yang berlaku bukanlah satu kejadian keselamatan atau serangan siber tetapi masalah teknikal yang sedang diperbaiki.
“Kami merujuk pelanggan kami ke portal sokongan untuk maklumat terkini dan akan terus memberikan maklumat lengkap dan berterusan di laman web.
“Kami selanjutnya mengesyorkan organisasi memastikan mereka berkomunikasi dengan wakil CrowdStrike melalui saluran rasmi,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg