Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gangguan khidmat MRT 2024: SMRT saran pelan urus tren usang

Kelewatan berulang bagi penghantaran kereta api baru jejas rancangan hentikan lebih awal khidmat kereta api dengan bahagian yang rosak
Aug 1, 2025 | 6:05 PM
smrt, lta, tren rosak
SMRT akan bekerja lebih rapat dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengeluar peralatan semasa pembaharuan kereta api dan sistem dilakukan. - Foto ST

Gangguan khidmat MRT selama enam hari di Laluan Timur-Barat (EWL) pada September 2024 boleh dicegah dengan penyelarasan lebih baik dalam kalangan semua pihak yang terlibat.

Demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kumpulan SMRT, Encik Ngien Hoon Ping, pada 31 Julai.

Menjelaskan pandangan pengendali kereta api itu berhubung gangguan tersebut – antara gangguan paling buruk pernah berlaku di Singapura yang menjejas seramai 2.6 juta penumpang – Encik Ngien menekankan bahawa pengajaran yang betul perlu diambil agar kesilapan sama tidak berulang.

Ini bermakna SMRT akan bekerja lebih rapat dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengeluar peralatan semasa pembaharuan kereta api dan sistem dilakukan, lapor The Straits Times (ST).

“Kami memerlukan perancangan kukuh dan memandang ke hadapan bagi tempoh perkhidmatan (aset kereta api), peranan dan tanggungjawab jelas, selain kerjasama merentasi agensi yang jauh lebih erat pada masa depan,” kata Encik Ngien, semasa sidang media mengenai keputusan kewangan terkini bahagian tren SMRT.

Pada 31 Julai, SMRT menyatakan bahawa kejadian gangguan kereta api tersebut telah mendorongnya melakukan “renungan lebih mendalam” mengenai cabaran mengendalikan aset kereta api melebihi tempoh perkhidmatan yang ditetapkan.

Sambil menyatakan bahawa tren MRT di Singapura direka untuk beroperasi selama 30 tahun, pengendali tersebut mencadangkan agar satu rangka kerja berstruktur diwujudkan bagi mengurus kereta api yang kian usang.

Ia turut mencadangkan agar LTA mengeluarkan satu sijil rasmi kepada pengendali kereta api, jika kereta api sedemikian digunakan melebihi tempoh perkhidmatan yang ditetapkan.

Sijil sedemikian sudah dikeluarkan bagi kereta api baru sebelum ia mula beroperasi.

Proses tersebut melibatkan pemeriksaan oleh pengeluar kereta api dan penilai bebas bagi memastikan semua spesifikasi keselamatan dipenuhi.

Gangguan khidmat MRT di EWL pada 2024 disebabkan satu komponen rosak pada tren generasi pertama Kawasaki Heavy Industries (KHI) berusia 37 tahun, yang menyebabkan kerosakan pada landasan sepanjang 2.55 kilometer dan peralatan di tepi landasan.

Ia berlaku semasa tren tersebut dikeluarkan untuk dihantar ke Depoh Ulu Pandan.

Siasatan mendapati SMRT telah melanjutkan jarak masa antara kerja penyelenggaraan besar tanpa penilaian kejuruteraan dan risiko menyeluruh.

Namun, LTA juga tidak menyemak pelanjutan itu, atau memerlukan SMRT mendapatkan kelulusannya.

Sementara itu, SMRT menjelaskan bahawa kelewatan berulang kali dalam penghantaran kereta api baru telah menjejas rancangannya untuk menghentikan lebih awal khidmat kereta api dengan bahagian yang rosak itu.

LTA menempah kereta api baru pada 2018, dua tahun selepas pihak berkuasa mengambil alih pemilikan aset rel SMRT di bawah model pembiayaan yang disemak semula.

Di bawah model itu, LTA membuat keputusan mengenai kerja naik taraf dan penggantian aset.

Kereta api baru tersebut dijadual tiba mulai 2021 bagi membolehkan perkhidmatan tren KHI itu dihentikan tepat pada masanya.

Namun, kereta api baru itu hanya dihantar mulai 2023.

Ini adalah antara faktor yang LTA ambil kira apabila ia mengurangkan jumlah denda yang perlu dibayar SMRT kepada Dana Pengangkutan Awam, daripada $3 juta kepada $2.4 juta, sebagai penalti bagi kejadian gangguan pada September 2024.

Keputusan tersebut dibuat selepas SMRT memberikan pernyataan akhir berhubung insiden tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg