Kos berkaitan gangguan besar selama enam hari di Laluan Timur-Barat (EWL) pada September 2024 telah menjejas prestasi kewangan pengendali rel SMRT Trains, yang mencatatkan penurunan sebanyak 21 peratus dalam pendapatan dan kejatuhan 8 peratus dalam keuntungan bagi tahun kewangan 2024/2025.
Dalam kenyataan pada 31 Julai, SMRT berkata bahagian tren syarikat itu mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak $6.9 juta bagi tempoh 12 bulan sehingga 31 Mac 2025, dengan margin keuntungan bersih 0.75 peratus.
Jumlah itu lebih rendah berbanding $7.5 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2023/2024, yang menyumbang margin keuntungan bersih 0.85 peratus.
SMRT, anak syarikat milik penuh syarikat pelaburan Singapura, Temasek, melaporkan bahawa pendapatan daripada operasi relnya telah meningkat 4 peratus kepada $918.2 juta bagi tahun kewangan 2024/2025, naik daripada $886.7 juta sebelumnya.
Peningkatan ini disokong oleh kenaikan tambang purata sebanyak 6 peratus pada Disember 2024, serta peningkatan jumlah penumpang di empat laluan MRT dan satu laluan LRT yang dikendalikan syarikat itu.
Namun, pertumbuhan pendapatan itu terjejas akibat kehilangan pendapatan berikutan gangguan EWL pada 2024, yang menjejas satu daripada enam perjalanan tren setiap hari dari 25 hingga 30 September 2024.
Sepanjang tempoh gangguan perkhidmatan itu selama enam hari, SMRT Trains telah menawarkan perjalanan percuma kepada penumpang yang turun di stesen Jurong East dan Buona Vista, lapor The Straits Times (ST).
Pengendali rel itu turut menanggung kos menyediakan perkhidmatan bas penyambung dan ulang-alik secara percuma, selain kerja membaiki kerosakan landasan sepanjang 2.55 kilometer dan peralatan di tepi landasan.
Kos keseluruhan yang ditanggung oleh SMRT dilaporkan melebihi $10 juta, termasuk denda sebanyak $2.4 juta yang dikenakan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sebagai penalti atas gangguan tersebut.
Akibatnya, pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) SMRT Trains merosot kepada $4.9 juta dalam tahun kewangan 2024/2025, berbanding $6.2 juta pada tahun sebelumnya, menurut syarikat itu.
Keuntungan itu turut disokong oleh peningkatan pendapatan daripada faedah.
Satu lagi perkembangan positif ialah penjimatan lebih $165 juta yang berjaya dikumpul hasil inisiatif dalaman oleh kakitangan untuk meningkatkan daya penghasilan dan keselamatan.
SMRT berkata penjimatan ini membantu meringankan tekanan kewangan yang dihadapi syarikat itu.
Contohnya, SMRT berjaya menjimatkan $50 juta dalam kos elektrik menerusi inisiatif seperti mengoptimumkan penggunaan tenaga tren dengan bantuan analitik data, meskipun penjimatan ini diimbangi oleh peningkatan kos pembaikan dan penyelenggaraan, kata Pengerusi SMRT, Encik Seah Moon Ming.
Siasatan LTA terhadap gangguan khidmat EWL pada 2024 – yang melibatkan komponen rosak pada tren generasi pertama Kawasaki Heavy Industries (KHI) berusia 37 tahun – mendapati, SMRT telah melanjutkan jarak masa antara kerja penyelenggaraan besar tanpa penilaian kejuruteraan dan risiko menyeluruh.
Namun, LTA juga tidak menyemak pelanjutan itu, atau memerlukan SMRT mendapatkan kelulusannya.
Menurut SMRT, penghantaran tren baru yang dipesan pada 2018 dan sepatutnya tiba menjelang 2021 telah tergendala, dan hanya mula dihantar dari 2023. Ini memaksanya untuk terus menggunakan tren lama.
Syarikat itu turut menghadapi kekurangan alat ganti akibat gangguan rantaian bekalan semasa pandemik Covid-19.
Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, LTA mengurangkan denda terhadap SMRT daripada $3 juta kepada $2.4 juta.
SMRT pada 31 Julai berkata insiden tersebut telah membawa kepada penilaian semula yang lebih mendalam mengenai cabaran mengendalikan aset rel yang telah melebihi jangka hayat operasi.
Mempertimbangkan tren MRT di Singapura yang direka untuk beroperasi selama 30 tahun, SMRT menggesa supaya rangka kerja yang lebih kukuh diwujudkan bagi mengurus kumpulan tren yang semakin ‘berusia’.
SMRT mencadangkan supaya LTA mengeluarkan sijil rasmi kepada pengendali tren yang mengesahkan bahawa tren-tren tersebut selamat digunakan walaupun ia telah melebihi jangka hayat rekaannya.
Proses ini sudah dilaksanakan untuk tren baru sebelum ia mula beroperasi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg