Pengendali rel SMRT melaporkan satu hantaran tanpa izin di akaun X mereka yang muncul lewat malam 27 Julai.
Pada 11.08 malam, gambar seorang wanita Asia Selatan dalam pakaian tradisional dimuat naik bersama kapsyen ‘R’.
Pemeriksaan oleh The Straits Times (ST) mendapati hantaran tersebut kekal dalam talian selama sekitar 10 minit sebelum dipadamkan.
Dalam tempoh itu, ia memperoleh lebih 2,000 tontonan dan dikongsi lebih 20 kali, jumlah yang lebih tinggi daripada kadar interaksi biasa akaun tersebut.
Akaun rasmi X SMRT, SMRT Corporation, mempunyai lebih 471,000 pengikut.
Akaun itu biasanya menyiarkan pengumuman dan kemas kini mengenai gangguan perkhidmatan tren.
Menjawab pertanyaan ST pada 28 Julai, SMRT berkata ia sedang menyiasat perkara ini.
“Kami menyedari mengenai kiriman tanpa izin yang muncul di akaun X rasmi kami lewat malam 27 Julai. Kami telah melaporkan kejadian ini kepada X dan sedang menjalankan siasatan,” kata Ketua Pegawai Komunikasi Kumpulan, Cik Margaret Teo.
Hantaran tersebut menimbulkan kekeliruan dalam talian, dengan pengguna di platform Reddit dan HardwareZone berkongsi tangkap layar dan meneka bahawa akaun SMRT mungkin telah digodam, atau pentadbir halaman secara tidak sengaja memuat naik gambar peribadi.
Ada juga yang bertanya jika akaun itu telah dipalsukan.
ST telah mengemukakan pertanyaan lanjut kepada SMRT.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg