Gangguan khidmat PayNow, digital DBS/POSB jejas pelanggan pada tengah hari
Gangguan khidmat PayNow, digital DBS/POSB jejas pelanggan pada tengah hari
Gangguan libat aplikasi dan laman web bank
Hasrat Cik Nur Zahariah Abdul Gani, membeli lemang dan ketupat dalam talian untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri terhenti seketika apabila bayaran melalui PayNow di aplikasi POSB-nya kepada penjual gagal.
Menceritakan kejadian sekitar 12.30 tengah hari pada 19 Mac itu, Cik Zahariah berkata:
“Penjual lemang dan ketupat itu kata saya perlu buat bayaran untuk sahkan tempahan.
“Tetapi saya rasa ada sesuatu yang tak kena sebab bila saya cuba bayar gunakan PayNow, butiran akaun saya semua tak ada.
“Saya teruskan juga cuba buat bayaran tapi kemudian keluar pula mesej yang mengatakan saya tak ada akaun untuk buat PayNow. Saya rasa takut juga kerana ingatkan kena ‘scam’.
“Tetapi saya tanya suami saya, dia pun terjejas juga. Itu yang melegakan sedikit. Nasib baik penjual pun faham keadaan.”
Cik Zahariah, seorang penyelaras penyelidikan klinikal berusia 36 tahun, akhirnya dapat membuat pembayaran bagi tempahannya itu hampir dua jam kemudian, sekitar 2 petang.
Beliau antara pelanggan Bank DBS dan POSB yang terjejas dengan gangguan perkhidmatan perbankan digital bank tersebut yang berlaku semasa waktu tengah hari pada 19 Mac.
Namun, sekitar 2 petang, DBS memaklumkan di Facebook bahawa semua khidmat perbankan dalam talian dan aplikasi DBS dan POSB telah pulih sepenuhnya sejak 1.19 tengah hari.
“Kami menghargai kesabaran anda dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” kata bank itu dalam kiriman tersebut.
DBS mula memaklumkan pelanggan tentang kesukaran mengakses beberapa perkhidmatan digitalnya pada sekitar 1 tengah hari di Facebook, dan menasihati mereka agar menggunakan kad untuk membuat bayaran.
“Sila yakin bahawa wang dan deposit anda kekal selamat. Kami akan memberikan kemas kini kepada anda secepat mungkin.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan menghargai kesabaran serta pemahaman anda,” kata bank itu.
Pihak bank menambah bahawa pelanggan masih boleh menyemak baki akaun mereka menggunakan ATM DBS dan POSB serta melalui perkhidmatan digibot.
Mereka juga boleh mengeluarkan wang tunai menggunakan ATM dan POSB Cash-Points, manakala pelanggan pelaburan boleh melakukan transaksi dagangan melalui pengurus perhubungan masing-masing.
Seawal 12 tengah hari, para pengguna mula melaporkan gangguan perkhidmatan, melibatkan kedua-dua aplikasi dan laman web bank menerusi Downdetector – sebuah laman web yang memantau gangguan perkhidmatan digital.
Setakat 12.30 tengah hari, lebih 2,100 laporan telah dicatatkan bagi perkhidmatan DBS dan POSB.
Pelanggan POSB, Encik Zafran Zulkifli, berkongsi beliau menghadapi kesukaran mengakses aplikasi banknya pada sekitar 12.30 tengah hari akibat gangguan tersebut.
“Saya cuba beberapa kali untuk mengakses aplikasi digital saya, dan akhirnya apabila saya dapat log masuk, saya tidak dapat lihat baki akaun saya dan juga tidak boleh buat pemindahan PayNow,” kata jurutera berusia 34 tahun itu.
Cik Norizan Abdullah, 46 tahun, juga terjejas tatkala bayaran PayNow tidak dapat dilakukan apabila beliau cuba membuat pembelian di dalam talian.
“Saya nak beli bubble tea untuk anak-anak dan gunakan PayNow untuk bayar, tapi ia macam lama nak proses.
“Saya cuba pula beli makanan dan kemudian masuk Shopee pula, tapi sama juga, PayNow masih tak boleh digunakan.
“Apabila saya log masuk aplikasi DBS, di situ keluar mesej yang beritahu pelanggan ada perkhidmatan yang alami gangguan,” kata guru agama sambilan itu.
DBS sebelum ini pernah mengalami beberapa insiden gangguan.
Pada Jun 2025, sebahagian pelanggan DBS dan POSB tidak dapat log masuk ke perkhidmatan perbankan digital bank tersebut selama lebih dua jam.
Kejadian tersebut menyebabkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengenakan sekatan selama enam bulan ke atas kegiatan perbankan tidak penting DBS.
Sekatan yang dilaksanakan pada 1 November 2023 itu tidak dilanjutkan selepas 30 April 2024.

