Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gangguan MRT: COI tidak perlu kerana siasatan LTA berterusan, tiada isu sistemik

Feb 26, 2025 | 7:26 PM
Perkhidmatan kereta api di Laluan Timur Laut (NEL) telah mengalami gangguan pada 10 Februari kerana masalah isyarat. Ia adalah satu daripada tiga kelewatan rel dalam tempoh lima hari pada Februari. 
Perkhidmatan kereta api di Laluan Timur Laut (NEL) telah mengalami gangguan pada 10 Februari kerana masalah isyarat. Ia adalah satu daripada tiga kelewatan rel dalam tempoh lima hari pada Februari.  - Foto ST

Tiada isu sistemik dengan pengendali rel SBS Transit dan SMRT berhubung tiga kelewatan MRT pada awal Februari, oleh itu pemerintah tidak akan mengadakan satu jawatankuasa siasatan (COI), kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.

“Tiada isu atau kebimbangan sistemik dengan SBS Transit atau SMRT yang saya fikir, akan mengubah pendirian kami mengenai keperluan untuk COI,” tambahnya pada 26 Februari.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai, yang merupakan antara beberapa soalan mengenai tiga kelewatan kereta api di Laluan Utara-Selatan (NSL), Timur Laut (NEL) dan Laluan Circle (CCL) dalam tempoh lima hari pada awal Februari, lapor The Straits Times (ST).

Encik Leong bertanya sama ada Encik Chee akan mengadakan COI untuk tiga insiden itu, memandangkan seruannya sebelum ini untuk COI bagi satu gangguan besar di Laluan Timur-Barat (EWL) telah ditolak.

Mengulangi bahawa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) masih meneliti punca tiga kejadian pada Februari itu, Encik Chee berkata pihak berkuasa akan melakukan yang terbaik untuk mengenal pasti apa boleh dipelajari dan berkongsi dengan pengendali.

Beliau merujuk Encik Leong kepada kenyataan menteri pada Oktober 2024, menjelaskan mengapa COI tidak diadakan bagi kerosakan yang membawa kepada gangguan selama enam hari di sepanjang EWL pada September 2024, yang menjejaskan kira-kira 2.6 juta penumpang.

Encik Chee menambah bahawa LTA, sebagai pengawal selia rel, “diberi kuasa” untuk menjalankan penyiasatan menyeluruh dan berkongsi penemuan secara terbuka.

Beliau berkata pada Oktober 2024 bahawa LTA akan melakukan siasatan menyeluruh untuk memastikan apa yang berlaku dan mengenal pasti bidang untuk penambahbaikan, kerana pengawal selia itu mempunyai “kuasa kawal selia dan pengetahuan teknikal yang diperlukan” untuk menyiasat insiden rel yang serius.

Pada Disember 2011, perdana menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, telah mengarahkan COI selepas terjadi tiga kerosakan dalam tempoh empat hari di NSL, yang menjejas lebih 200,000 penumpang.

Encik Chee menegaskan bahawa walaupun insiden pada Februari 2025 itu berlaku berturut-turut, ia tidak berkaitan antara satu sama lain atau dengan kerosakan kereta api EWL pada September 2024.

Encik Leong juga telah bertanya sama ada LTA akan mengkaji kemungkinan masalah dalam kakitangan, kadar pengambilan pekerja baru, tahap kemahiran dan semangat bekerja dalam jabatan kejuruteraan dan penyelenggaraan pengendali SMRT, melangkaui isu perkakasan.

Mengenai hal ini, Encik Chee berkata bahawa pihak berkuasa telah meneliti isu-isu tersebut dan akan mengkaji keseluruhan sistem operasi dan penyelenggaraan.

Menteri itu juga memberikan maklumat terkini mengenai penemuan awal penyiasatan terhadap tiga kelewatan rel itu.

Pertama, bagi kejadian di NSL pada 7 Februari, beliau berkata hanya tiga daripada 39 tren yang dijadual berkhidmat di laluan itu telah dilancarkan dari Depoh Bishan apabila sebuah kenderaan kejuruteraan rosak di persimpangan kereta api di depoh itu kira-kira 5.15 pagi.

Akibatnya, SMRT terpaksa mengubah hala beberapa kereta api dari EWL ke NSL, mewujudkan masa menunggu lebih panjang bagi kereta api di kededua laluan.

Mengenai insiden NEL pada 10 Februari, Encik Chee menyatakan bahawa ia berpunca daripada kerosakan isyarat berhampiran stesen Buangkok sekitar 6.08 pagi, yang menghalang kereta api dikawal secara automatik. Oleh itu, ia terpaksa dipandu secara manual dan pada kelajuan lebih perlahan.

Mengenai insiden CCL pada 11 Februari, Encik Chee berkata siasatan lanjut menunjukkan bahawa insiden itu disebabkan oleh kerosakan isyarat, dan bukan gangguan kuasa, seperti yang ditunjukkan sebelum ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg