Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LTA, pengendali MRT kerjasama siasat punca utama gangguan

Feb 14, 2025 | 8:20 PM
Kakitangan dan jurutera SMRT berusaha memperbaiki kenderaan kejuruteraan di depoh Bishan pada 7 Februari 2025.
Kakitangan dan jurutera SMRT berusaha memperbaiki kenderaan kejuruteraan di depoh Bishan pada 7 Februari 2025. - Foto ST

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata ia sedang bekerjasama dengan pengendali kereta api SMRT dan SBS Transit untuk mengenal pasti punca tiga insiden gangguan MRT di Laluan Utara-Selatan (NSL), Laluan Timur Laut (NEL) dan Laluan Circle yang berlaku dalam tempoh kurang seminggu.

Menurut kenyataan LTA pada 13 Februari, gangguan itu berlaku pada 7 Februari, 10 Februari dan 11 Februari, menjejas perjalanan pada waktu sibuk.

Tambahnya, pihak SMRT memandang serius insiden tersebut dan berkata kesemua tiga insiden itu tiada kaitan antara satu sama lain.

Dalam laporan awal hasil siasatannya, LTA berkata insiden pada 7 Februari berpunca daripada sebuah kenderaan kejuruteraan yang rosak di persimpangan landasan di Depoh Bishan pada 5.15 pagi selepas kerja-kerja penyelenggaraan rutin.

Apabila SMRT cuba mengalih kenderaan yang rosak itu menggunakan kenderaan penyelamat, sebahagian roda kenderaan kejuruteraan terlepas ke landasan, kata LTA.

Ini menghalang kereta api di laluan itu meninggalkan depoh untuk mengambil penumpang.

Bagi memastikan NSL boleh beroperasi seperti biasa, SMRT melencongkan beberapa kereta api dari Laluan Timur-Barat (EWL) ke laluan tersebut.

Ini membolehkan khidmat kereta api pada dua laluan rel terjejas tetap beroperasi sepanjang hari, tetapi dengan masa menunggu yang lebih lama antara dua kereta api, tambah LTA.

Dalam hantaran di media sosial pada 7 Februari, SMRT memberitahu penumpang di laluan NSL dan EWL untuk menambah masa perjalanan sehingga 20 minit.

Ini memandangkan masa menunggu antara kedua-dua kereta api bertambah sehingga lima minit pada pagi itu.

Gangguan itu berlarutan sehingga lewat petang.

Kenderaan kejuruteraan yang rosak itu dapat dipindahkan menjelang 5.30 petang, membolehkan SMRT melancarkan khidmat kereta api dari depoh Bishan dan secara berperingkat mengembalikan khidmat seperti biasa.

“LTA dan SMRT sedang menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengetahui punca insiden ini,” menurut LTA.

LTA juga menekankan bahawa insiden itu berbeza daripada gangguan EWL pada September 2024 apabila kereta api kosong tergelincir semasa kembali ke depoh.

Gangguan di EWL pada waktu berlarutan selama enam hari, menjejas sekitar separuh juta penumpang setiap hari.

Sementara itu, insiden gangguan 10 Februari di Laluan Timur Laut (NEL) pula berpunca daripada kerosakan isyarat di stesen MRT Buangkok pada 6.08 pagi, menurut LTA.

Semasa insiden itu, SBS Transit menyediakan khidmat bas percuma antara Punggol Coast dengan Dhoby Ghaut.

Gangguan itu berlaku selama lebih sejam dengan khidmat biasa kereta api disambung semula secara berperingkat dari pukul 8.00 pagi.

Siasatan awal menunjukkan insiden itu disebabkan kerosakan pada peralatan isyarat, yang disebabkan oleh kad elektronik tidak berfungsi, menurut LTA.

Seterusnya, insiden pada 11 Februari pula berpunca daripada kerosakan isyarat yang berlaku antara stesen Paya Lebar dengan Marymount di Laluan Circle pada 8.15 pagi.

LTA berkata ini menyebabkan bekalan elektrik terputus sekali gus menjejas 17 kereta api dan menyebabkan kelengahan semasa waktu perjalanan sebelah pagi.

Bekalan elektrik itu dikembalikan dan khidmat kereta api disambung semula secara bertahap pada 8.20 pagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg