Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gangguan MRT pada Sep terpencil, tidak jejas seluruh sistem rel

Sep 17, 2025 | 9:26 PM
Singapura, MRT, TEL, SMRT
Sekitar 7.10 pagi pada 17 September, kerosakan sistem isyarat menyebabkan gangguan di Laluan Thomson-East Coast (TEL) selama hampir dua jam. - Foto fail

Tiga gangguan kereta api kendalian SMRT yang berlaku dalam tempoh empat hari, pada 14, 16 dan 17 September, adalah “kes terpencil dan bukan masalah sistemik (menjejas keseluruhan sistem rel)”, kata Presiden SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kai.

Mengulas perkara ini kepada media di Depoh SMRT Kim Chuan pada 17 September, Encik Lam berkata:

“Kami mengakui gangguan tersebut menyusahkan penumpang, dan seikhlasnya memohon maaf kepada mereka yang terjejas.”

Sementara itu, kerosakan tren berlaku lagi pada 17 September sekitar 7.10 pagi.

Kali ini ia melibatkan kerosakan sistem isyarat yang menyebabkan gangguan di Laluan Thomson-East Coast (TEL) selama hampir dua jam.

Sistem isyarat memastikan kereta api berlalu pada arah yang betul dan menjaga jarak yang selamat antara kereta api yang beroperasi. Ia juga memastikan kereta api mengikuti jadual tertentu.

Melalui hantaran Facebook pada 7.29 pagi, SMRT memaklumkan kepada penumpang agar mengambil kira tambahan sebanyak 15 minit antara stesen Woodlands North dengan Bayshore.

Namun, perkhidmatan tren ini digantung sementara selama 30 minit untuk menghidupkan semula sistem isyarat.

Encik Lam menambah SMRT sedang bekerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengilang sistem isyarat tersebut untuk menyiasat kerosakan yang terjadi.

Sekurang-kurangnya lima gangguan merentasi keseluruhan rangkaian MRT dikesan berlaku pada September sahaja, termasuk kejadian pada 17 September.

Beberapa penumpang menjelaskan di Facebook mereka terpaksa berdepan dengan tambahan masa dalam perjalanan, iaitu antara 45 minit dengan sejam.

Mengenai perkara ini, Encik Lam akui terdapat ruang untuk menambah baik komunikasi dengan mereka di lokasi yang terjejas. 

“Kesan kepada setiap penumpang berbeza dan bergantung kepada lokasi di mana penumpang itu berada ketika insiden tersebut. Ini salah satu aspek di mana kami akan perbaiki bersama LTA,” jelas Encik Lam.

Perkhidmatan bas percuma disediakan sehingga laluan TEL dibuka semula pada 8.54 pagi.

Presiden SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kai, meyakinkan orang awam bahawa SMRT akan meningkatkan pengurusan perkhidmatan kereta api mereka. Ini sempena lima gangguan setakat 17 September.
Presiden SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kai, meyakinkan orang awam bahawa SMRT akan meningkatkan pengurusan perkhidmatan kereta api mereka. Ini sempena lima gangguan setakat 17 September. - Foto ST

Dalam pada itu, Encik Lam meyakinkan penumpang SMRT akan bekerjasama dengan LTA untuk mengukuh perkhidmatan MRT dalam tiga aspek.

“Pertama, (kami akan) menyemak aset kereta api dengan lebih terperinci. 

“Sebahagian komitmen kami adalah bagi menjamin khidmat kereta api yang boleh diyakini untuk jangka panjang dengan mengukuhkan pengurusan sistem kereta api, mempercepatkan pembaharuan aset dan menaik taraf (aset), di mana yang diperlukan,” jelas Encik Lam.

Kedua, SMRT dan LTA, jelasnya, akan menjalankan audit bagi mengenal pasti pembaikan dan pembetulan yang diperlukan untuk sistem kritikal serta prosedur tindak balas.

Mengenai langkah ketiga pula, Encik Lam menambah: “Ketika mengendalikan insiden sebegini, kami mengambil pendekatan yang mendahului keselamatan penumpang dan kakitangan kami.

“Respons yang wajib untuk menjamin keselamatan umum biasanya mengambil masa kira-kira dua hingga tiga jam.” 

Sementara itu, beliau memberi jaminan SMRT telah menguji langkah pengurusan orang ramai yang baru serta tanda pandu arah di Stesen MRT Jurong East untuk meningkatkan kecekapan tindak balas SMRT terhadap gangguan perkhidmatan kereta api.

Sejak September, langkah itu telah diperkenalkan secara berperingkat di beberapa stesen pertukaran utama yang dikendalikan SMRT. 

Kakitangan SMRT tampil dengan jaket keselamatan berwarna terang, wisel, pembesar suara, serta pembesar suara mudah alih, yang boleh menyiarkan pengumuman yang telah dirakam.

Gangguan MRT pada September

Empat lagi gangguan MRT pada September setakat ini adalah:

16 September

Perkhidmatan MRT antara stesen Aljunied dengan Tanah Marah di Laluan Timur-Barat (EWL) digantung sementara.

Gangguan tersebut bermula kira-kira 11.10 malam akibat kerosakan kepada alat yang menyediakan tenaga bekalan untuk sistem elektrik. Ini sekali gus merosakkan sistem isyarat.

Menurut Encik Lam, kakitangan SMRT yang bertugas pada waktu malam dan perkhidmatan kereta api di EWL berjalan lancar semula pada pagi 17 September.

Kakitangan SMRT memperbaiki sistem bekalan tenaga rosak yang menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan kereta api di EWL pada 16 September.
Kakitangan SMRT memperbaiki sistem bekalan tenaga rosak yang menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan kereta api di EWL pada 16 September. - Foto SMRT

14 September

Kira-kira 11.45 pagi pada 14 September, kereta api yang rosak di Laluan Utara-Selatan (NSL) menyebabkan kelewatan selama 25 minit antara stesen Ang Mo Kio dengan Newton.

2 September 

Kereta api yang rosak di NSL menyebabkan kelewatan selama 45 minit di stesen Woodlands, Admiralty, Sembawang. Canberra dan Yishun.

Pada 8.20 malam, SMRT menasihati penumpang untuk mengambil kira tambahan selama 25 minit kepada masa perjalanan antara stesen Woodlands dengan Yishun.

1 September

Pada 8.40 pagi, kereta api yang rosak di Laluan Circle (CCL) turut mengganggu perkhidmatan MRT di tiga stesen, bermula dari stesen Marina Bay hingga Promenade.

“Kami mengakui gangguan tersebut menyusahkan penumpang, dan seikhlasnya memohon maaf kepada mereka yang terjejas.”
Encik Lam Sheau Kai, Presiden SMRT Trains.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg