Satu gangguan perkhidmatan MRT telah berlaku di sepanjang Laluan Utara-Selatan (NSL) pada 14 September, menyebabkan kelewatan selama 40 minit.
Ini adalah gangguan kedua yang berlaku pada September di laluan tersebut.
Dalam kenyataan awal pada 11.44 pagi, pengendali pengangkutan SMRT menasihatkan penumpang untuk mengambil kira tambahan masa perjalanan sebanyak 25 minit antara stesen Newton dan Ang Mo Kio, menuju ke Jurong East, lapor The Straits Times (ST).
Gangguan itu telah menjejas penumpang di enam stesen - Newton, Novena, Toa Payoh, Braddell, Bishan, dan Ang Mo Kio.
Pada 12.21 tengah hari, SMRT mengumumkan bahawa perkhidmatan kereta api telah disambung semula dan perkhidmatan bas percuma untuk penumpang juga telah dihentikan.
Dalam satu kenyataan di Facebook pada 12.52 tengah hari, Presiden SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kai, menjelaskan bahawa gangguan berlaku pada sekitar 11.35 pagi disebabkan oleh masalah pada salah satu kereta api, dan pasukan SMRT segera dikerahkan untuk membaikinya.
“Setelah penumpang yang terlibat dibantu keluar dengan selamat, kereta api yang rosak dikeluarkan daripada perkhidmatan,” kata beliau, sambil memohon maaf atas kelewatan tersebut.
Pada 2 September, gangguan serupa berlaku di NSL, menyebabkan penumpang terlewat 25 minit semasa perjalanan dari Woodlands ke Yishun, yang turut melibatkan lima stesen iaitu Woodlands, Admiralty, Sembawang, Canberra, dan Yishun.
Selain itu, perkhidmatan LRT Punggol yang dikendalikan oleh SBS Transit mengalami gangguan selama tiga jam pada 13 September, menjadikannya gangguan ketiga dalam lebih satu bulan.
Menurut data daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), kebolehpercayaan rangkaian MRT bagi suku tahun hingga Jun 2025 telah jatuh ke tahap terendah sejak 2020, namun kebolehpercayaan rangkaian LRT menunjukkan prestasi yang lebih baik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg