Perkhidmatan kereta api kembali beroperasi di Laluan Timur Laut (NEL) pada 10 Februari selepas operasinya terjejas pada kesibukan waktu pagi ekoran kerosakan sistem isyarat.
Pengendali kereta api, SBS Transit, memberitahu penumpang di media sosial agar jangkakan tren yang lewat hingga 30 minit, akibat gangguan sistem isyarat di Buangkok pada pagi 10 Februari, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Bagaimanapun, SBS Transit, dalam satu catatan media sosial pada 8.45 pagi, berkata NEL telah kembali beroperasi seperti biasa, dengan perkhidmatan bas percuma serta bas penghubung telah dihentikan.
Dalam catatan media sosial pertamanya pada 6.23 pagi, SBS Transit memaklumkan bahawa penumpang perlu jangkakan tambahan masa perjalanan selama 10 minit, yang kemudian dikemas kini kepada 15 minit.
Pada 7.11 pagi, tempoh kelewatan tren dikemas kini kepada 20 minit, dan kemudian kepada 30 minit pada 7.43 pagi.
Perkhidmatan bas percuma disediakan di pusat pertukaran bas Serangoon, Hougang dan Sengkang manakala perkhidmatan bas penghubung percuma disediakan di perhentian bas berhampiran stesen yang terjejas antara stesen Dhoby Ghaut dengan Punggol Coast, kata SBS Transit.
Jurutera teknologi maklumat (IT), Encik Vincent Lim, memberitahu ST, beliau menaiki kereta api di stesen Punggol pada 6 pagi tetapi tiba di stesen HarbourFront pada 7.35 pagi.
“Perjalanan biasanya mengambil masa sekitar 45 minit tetapi saya mengambil masa sejam setengah untuk sampai ke destinasi hari ini,” kata lelaki berusia 49 tahun itu, yang mula bekerja pada 7 pagi.
“Kelewatan itu terasa seperti sejam, dan bukan 15 minit,” ujarnya lagi.
Encik Lim meluahkan harapan agar lebih banyak maklumat dapat dikongsi di stesen yang terjejas mengenai bas penghubung untuk penumpang.
“Mereka yang bergantung sepenuhnya pada MRT untuk ke tempat kerja, seperti saya, tidak tahu ke mana bas pengantara akan membawa kami. Adakah ia akan berhenti di stesen HarbourFront atau di lokasi lain?” katanya.
Sementara itu, Encik Mohamad Farish, seorang pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, memberitahu ST, beliau terlewat ketika dalam perjalanan dari stesen Serangoon ke Punggol pada 6.40 pagi.
“Perjalanan saya sepatutnya mengambil masa 15 minit tetapi saya mengambil masa hampir sejam hari ini,” kata remaja berusia 18 tahun itu, yang terpaksa meneruskan perjalanan ke sekolahnya di Simei dengan menaiki bas dari Punggol.
“Kelas saya sepatutnya bermula pada 8 pagi tetapi saya tiba pada 9 pagi. Mujur, pensyarah saya cukup memahami selepas saya menjelaskan situasi yang berlaku,” jelasnya.
Kelewatan perkhidmatan NEL pada 10 Februari berlaku selepas gangguan di laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat pada 7 Februari.
Gangguan itu berlaku selepas kenderaan kejuruteraan tergelincir di Depoh Bishan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg