Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Atlet lelayang foil S’pura, Maximilian Maeder, menang gangsa di Sukan Olimpik Paris

Aug 9, 2024 | 9:49 PM
Kemenangan gangsa atlet foil lelayang Singapura, Maximilian Maeder, menyumbang pada pingat pertama Singapura dalam sukan kapal layar di Sukan Olimpik. 
Kemenangan gangsa atlet foil lelayang Singapura, Maximilian Maeder, menyumbang pada pingat pertama Singapura dalam sukan kapal layar di Sukan Olimpik.  - Foto REUTERS

Atlet foil lelayang Singapura, Maximilian Maeder, memenangi pingat gangsa bagi acara lelayang lelaki di Sukan Olimpik Paris pada 9 Ogos.

Pencapaian itu menjadikan Maeder, 17 tahun, hanya warga Singapura keenam untuk naik ke podium Sukan Olimpik.

Sejak atlet angkat berat, Tan Howe Liang, meraih pingat perak pada 1960 di Rome, pemain tenis meja Singapura, Feng Tianwei, Li Jiawei dan Wang Yuegu, telah menghasilkan satu lagi pingat perak dan dua pingat gangsa di temasya sukan Beijing 2008 dan London 2012, sebelum perenang, Joseph Schooling, menggondol pingat emas sulung negara pada 2016 di Rio de Janeiro.

Di Marina Marseille, Maeder menamatkan persaingan siri akhir acara lelayang lelaki – yang ditangguhkan selama sehari akibat kekurangan angin untuk bertanding – di belakang pemenang pingat emas, Valentin Bontus dari Austria, dan atlet Slovenia, Toni Vodisek, yang membawa pulang pingat perak.

Hanya satu daripada sehingga maksimum enam perlumbaan telah diadakan pada 8 Ogos, iaitu jadual asal pertandingan.

Pada 9 Ogos, pertandingan juga tertunda selama lebih dua jam akibat keadaan angin.

Maeder gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tiga perlumbaan siri akhir yang dipertandingkan.

Beliau hanya mendapat tempat kedua dalam perlumbaan pertama sebelum dua keputusan tempat ketiga.

Juara dunia dua kali itu bagaimanapun mempunyai satu mata perlumbaan ketika menduduki tempat kedua dalam siri pembukaan.

Kemenangan gangsa Maeder adalah pingat pertama Singapura dalam sukan kapal layar di Sukan Olimpik.

Sukan Olimpik Paris merupakan penampilan sulung Maeder dalam temasya sukan itu.

Regata lelayang tamat apabila seorang atlet mendapat tiga mata perlumbaan, dengan kedudukan seterusnya ditentukan oleh jumlah kemenangan perlumbaan yang dimiliki.

Bontus menjuarai ketiga-tiga perlumbaan siri akhir untuk merangkul pingat emas.

Sementara itu, Vodisek menduduki tempat kedua walaupun dikenakan dua penalti pada 9 Ogos.

Menurut laporan The Straits Times, Vodisek gagal dalam pemeriksaan topi keledar dan melaporkan diri lewat untuk pemeriksaan peralatan.

Namun begitu, beliau sudah meraih dua mata perlumbaan ketika menduduki tempat pertama dalam siri pembukaan dan mengakhiri siri akhir dengan kemenangan pingat perak.

Mengulas kejayaan Maeder di Facebook, Presiden Tharman Shanmugaratnam, berkata:

“Max matang melepasi usia sebenarnya - senyuman muda belianya dan kemontelannya persis budak kecil memperdaya. Wujud hembusan angin baru dalam sukan Singapura.

“Cuba anda bayangkan - kita tidak memenangi sebarang pingat Olimpik selama hampir setengah abad selepas pingat perak diraih Tan Howe Liang pada Olimpik Rome 1960. Tetapi sejak 2008, (Singapura) membawa pulang tiga pingat gangsa Olimpik termasuk yang dimenangi Max, sebutir pingat perak dan kemenangan bersejarah Joseph Schooling meraih pingat emas.”

Mengambil kira pencapaian atlet Singapura lain seperti pemain badminton, Loh Kean Yew dan pelari pecut, Shanti Pereira, Presiden Tharman menambah:

“Satu generasi warga muda Singapura mengambil serius sukan mereka, mendapat sokongan lebih kuat dan mencapai lebih tinggi (cita-cita mereka)...Pingat dan anugerah antarabangsa memang tidak mudah diraih.

“Tetapi tiada yang dapat mengatasi perjalanan, teman-teman yang ditemui sepanjang jalan dan jerih payah serta kegembiraan berusaha demi mencapai matlamat yang ditetapkan untuk diri anda sendiri.”

Turut melahirkan rasa gembiranya, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong menulis di media sosial:

“Sedang kita baru sahaja tamat meraikan Perbarisan Hari Kebangsaan, Max Maeder mengatasi kesulitan kondisi di lautan dan menjadi warga Singapura termuda memenangi pingat Olimpik.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg