Beberapa penduduk di Yio Chu Kang menyuarakan ketidakpuasan atas tindakan pihak berkuasa mengeluarkan ayam liar di kawasan kejiranan mereka.
Namun, ada yang gembira dengan tindakan ini kerana mereka geram dengan ayam yang berkokok pada waktu pagi yang sangat awal.
Sebuah video di Facebook Singapore Wildlife Sightings menunjukkan kontraktor daripada Lembaga Taman Negara (NParks) memasang perangkap di sebuah taman sepanjang Cactus Road.
Kan Shik Kiong, yang memuatkan video tersebut pada 9 Oktober, berkongsi bahawa pihak berkuasa bertindak atas aduan penduduk. lapor laman AsiaOne.
Video itu telah mendapat lebih 300 komen dan 37,000 tontonan.
Susulan itu, seorang wartawan daripada Shin Min Daily News melihat tiga ekor ayam berkeliaran di sekitar taman; namun, tiada perangkap.
Beberapa penduduk yang tinggal di sekitar kawasan itu memberitahu wartawan tersebut bahawa ayam-ayam itu tidak berbahaya.
Naib pengerusi jawatankuasa kejiranan Yio Chu Kang yang hanya dikenali sebagai Tang, 72 tahun, berkata: “Ayam-ayam ini keluar sekitar jam 7 pagi setiap hari, dan terbang ke atas pokok pada waktu malam.”
“Mereka bukan seperti monyet yang akan memasuki kawasan perumahan, jadi kami tidak fikir ia wajar untuk menangkapnya,” tambahnya.
Seorang lagi penduduk, Shi, 35 tahun berkata beliau sering membawa anak perempuannya melihat dan memberi makan kepada ayam.
“Kami tidak fikir mereka bising, dan ia merupakan peluang yang baik untuk kanak-kanak mengenali alam semula jadi,” tambahnya.
Namun, Liao, 60 tahun, berpendapat bahawa ayam-ayam itu akan berkokok sekitar jam 7 pagi setiap hari dan ia mengganggunya.
Beliau bersetuju bahawa pihak berkuasa harus menangkap ayam itu, tetapi berharap beberapa ekor patut kekal di sana.
Apabila ditanya, pengarah kumpulan NParks bagi pengurusan hidupan liar, How Choon Beng, berkata bahawa NParks mengamalkan pendekatan pengurusan berasaskan sains dan komuniti untuk haiwan liar, termasuk ayam liar yang bebas.
Beliau menambah bahawa NParks juga bekerjasama dengan organisasi akar umbi untuk menghasilkan amalan terbaik untuk menguruskan populasi ayam, seperti menasihati penduduk supaya tidak memberi mereka makan, dan berkongsi maklumat untuk mengurangkan tempat ayam ini bertelur.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg