Menyorok dan mengumpul barang berlebihan atau biasanya digelar sebagai ‘hoarding’, selalunya merupakan petanda masalah yang lebih mendalam.
Masalah itu lazimnya melibatkan warga emas serta mereka yang bergelut dengan kesepian.
Justeru, agensi khidmat sosial dan kumpulan relawan yang dihubungi Berita Minggu (BM) menekankan pentingnya masyarakat untuk mempunyai belas kasihan, dan bantu mengesan kes sebegitu supaya golongan penyorok ini menerima bantuan yang diperlukan.
Penolong pengurusan perhubungan dan pemasaran Habitat for Humanity Singapore, Cik Amanda Tang, berkata:
“Pemilik rumah secara umumnya mempunyai tentangan untuk melepaskan barang-barang disebabkan sebab tertentu, contohnya barang itu bernilai kepada mereka, barang itu boleh digunakan pada masa depan, barang dilindung sekiranya mereka berdepan dengan isu kewangan pada masa depan.
“Ia benar-benar memerlukan seluruh masyarakat untuk meyakinkan mereka untuk mengurangkan barang mereka.”
Pertubuhan tidak mengaup keuntungan itu biasanya menerima sehingga lima kes penyorok dalam sebulan, dan ia melibatkan kebanyakannya warga emas yang tinggal di flat sendiri.
Namun, mereka juga menerima kes melibatkan penyorok yang bukan dari kalangan warga emas dan ada di antara mereka menginap di rumah sewa.
Kaunselor utama dan pekerja sosial bagi pertubuhan khidmat sosial tidak mengaup keuntungan, O’Joy, Dr Chew Yat Peng, berkata:
“Rumah mereka semak disebabkan beberapa sebab, ada kerana kecenderungan menyorok, ada yang disebabkan kecenderungan gangguan obsesif kompulsif (OCD), ada yang hanya kerana terlalu tua dan lemah untuk menguruskan rumah mereka. Ada juga yang mengalami demensia dan tidak dapat mengurus rumah mereka.”
Dalam menangani kes sebegitu, Dr Chew berkata mereka selalunya akan berusaha memahami keadaan penyorok dahulu, keperluan dan cara pemikiran mereka.
Antara cabaran yang dialami golongan penyorok, tambahnya ialah mereka mengabaikan diri sendiri, tidak mempunyai sokongan sosial dan dipinggirkan jiran kerana kebersihan tidak dijaga serta bau dari rumah mereka.
“Masyarakat boleh membantu dengan merujuk mereka kepada agensi khidmat sosial supaya pekerja sosial boleh membuat tindakan susulan untuk memenuhi keperluan asas mereka.
“Perlu untuk bersabar, berlaku baik dan cuba memahami mereka sebagai seorang insan,” ujarnya.
Baru-baru ini, kematian tiga individu dalam kebakaran flat di Hougang memaparkan masalah yang dihadapi beberapa individu yang menyorok pelbagai barangan di flat mereka.
Masalah ini diburukkan dengan lebih banyak kes pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa bilangan kes mungkin meningkat disebabkan penduduk Singapura yang semakin menua, menurut laporan akhbar sebelum ini.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), antara bahaya kebakaran ialah kotak dan barangan lain yang disusun di sepanjang koridor, laluan kecemasan dan tangga.
Ini selain surat khabar, perabot, kotak dan barangan lain yang dibuang.
Bahaya kebakaran ini boleh menghalang usaha memadam kebakaran, pemindahan kebakaran dan mengangkut pesakit secara serius semasa kecemasan perubatan, menurut panduan SCDF.
Pengasas kumpulan kebajikan sosial Keeping Hope Alive, Cik Fion Phua, berkata beliau dan pasukan relawannya sudah membantu membersihkan rumah penyorok selama lebih dua dekad.
Kumpulan itu selalunya pergi dari rumah ke rumah untuk melawat penduduk yang tinggal di flat sewa setiap Ahad.
Kebelakangan ini, beliau berkata bahawa masalah menyorok barang berlebihan bukan hanya melibatkan orang tua, tetapi juga boleh dilihat dalam kalangan generasi muda, yang membeli atau menyimpan lebih daripada yang mereka perlukan.
Yang penting adalah untuk membantu mereka menguruskan barang mereka yang bersepah supaya ia lebih terurus, katanya.
Cik Phua juga memberi perhatian kepada pentingnya badan amal memberi bantuan yang benar-benar memenuhi keperluan penerima bantuan.
“Sikap menyorok barang meningkat sebahagiannya kerana badan amal mendermakan (barang) melebihi apa yang diperlukan. Mereka yang memberi tidak memeriksa keperluan mereka yang menerima,” katanya, sambil menukil contoh bagaimana badan amal memberi buah tetapi keluarga tersebut tidak makan buah sehingga ia menjadi busuk.
Memberi pandangan peribadi, beliau berkata:
“Mereka (penyorok) mempunyai hak untuk lakukan apa yang mereka mahu lakukan... tetapi asalkan ia tidak menjejas jiran atau mengancam nyawa.”
Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang menangani beberapa kes penyorok di daerah jagaannya berkata ada individu yang mungkin rasa terasing, sementara ada pula yang tidak sedar yang tabiat mereka menyusahkan orang lain.
“Jika jiran bertindak balas dengan meluahkan kekecewaan atau mengelak, ia mungkin menyebabkan penyorok untuk semakin terasing, menjadikan ia lebih sukar untuk menangani isu tersebut.
“Disebabkan itulah pendekatan yang penuh ihsan dan kesabaran diperlukan,” ujarnya yang menambah bahawa anggota keluarga mahupun relawan akar umbi juga memainkan peranan.
Perbuatan yang tampak kecil, seperti bertanyakan khabar, menawarkan bantuan untuk mengurangkan timbunan mereka, atau mendengar luahan mereka boleh membina kepercayaan dan membuka jalan bagi usaha campur tangan lebih meluas, kata Dr Wan Rizal.
“Majlis Bandar boleh mengendalikan kerja pembersihan yang diperlukan, tetapi perubahan mampan hanya boleh berlaku apabila masyarakat secara aktif menyokong individu tersebut, melebihi pembersihan fizikal,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg